KUALA LUMPUR – Pendirian ke atas pasaran kontrak hadapan ringgit tanpa serahan (NDF) luar persisir, kekal, kata Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid.

Jika ada pun (perubahan), lebih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk terus menjauhkan diri daripada pasaran luar pesisir ini.

Kini sudah setahun penuh sejak Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) dan BNM memulakan siri pertama inisiatif pembangunan pasaran kewangannya selepas NDF mencetuskan turun naik mata wang.

Sejak itu, pasaran pertukaran asing dalam negara menjadi lebih stabil dan ringgit mengukuh, yang mencerminkan kedudukan asas negara yang kukuh.

“Lebih penting lagi, kelemahan ke atas ketidaktentuan yang kita lihat tahun lepas telah berkurangan dengan ketara. Pemilikan oleh pelabur asing ke atassekuriti hutang ringgit telah berkurang, pasaran NDF dan peserta dalam pasaran itu juga telah merosot,” kata Adnan, yang merupakan Pengerusi FMC dari Mei 2016 hingga September 2017

Beliau berkata, pasaran tukaran asing dalam negara juga menjadi lebih cair dengan jumlah dan julat produk yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna BNM boleh berpuas hati kerana pasaran kewangan sentiasa mencari jurang dan peluang.

“Dan mereka melihat tanda-tanda sama ada bank pusat akan mengubah pendirian ke atas NDF. Sekiranya semua sudah ditangani, kenapa tidak? Saya fikir mereka akan menjadi lebih produktif jika mereka memberi tumpuan kepada usaha untuk meningkatkan operasi dan kecekapan perniagaan dalam parameter semasa,” kata Adnan dalam satu artikel baru-baru ini.

Beliau kini cuti belajar di Oxford University, United Kingdom.

Adnan menegaskan bahawa pendirian ke atas NDF luar pesisir tidak akan berubah.

Beliau berkata, Malaysia sudah melihat risiko yang dibawa dan kerosakan yang berlaku.

“Dan ini bukannya berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini sahaja. Krisis kewangan yang berlaku pada 1997-98 juga berpunca daripada dominasi pasaran luar pesisir ringgit,” katanya.

Terdapat begitu banyak persamaan antara pasaran ringgit luar pesisir pada tahun 1990-an dan NDF ringgit sejak beberapa tahun lepas, dengan satu-satunya perbezaan utama ialah ringgit bukan mata wang antarabangsa.

“Ini terbukti merupakan perbezaan yang sangat penting kerana ia membentuk dasar yang lebih melengkung dan menjelaskan mengapa kami tidak memperakui produk dan pasaran luar pesisir ringgit. Ia juga menyokong legitimasi kedudukan kami dalam mengekang sejauh mana yang dibolehkan. Jadi, jika itu berlaku, apakah masa depan untuk pasaran kewangan ringgit,” katanya.

Sejak bertahun-tahun, struktur dan peraturan pasaran kewangan dalam negara mempunyai kelemahannya tersendiri. Legasi daripada dasar untuk menangani krisis 1997-98.

Terdapat langkah-langkah liberalisasi penting selepas itu, namun secara keseluruhannya, tahapnya ketinggalan dalam memenuhi permintaan pasaran kewangan, yang merupakan faktor utama yang membawa kepada pasaran pertukaran asing yang sangat ketat.

“Berdasarkan pengalaman itu kita sepatutnya mengambil tindakan pembetulan lebih awal dan pada masa yang lbih baik. Itulah niatnya, yang pasti semasa kami membentuk FMC pada Mei 2016,” katanya.

Mengenai tesis yang mendorong pembentukan FMC adalah hasil daripada tindakan mengetatkan peraturan pasaran luar pesisir yang bertujuan membendung kegiatan spekulatif, negara sebaliknya mendorong pelabur untuk berdagang dalam pasaran luar pesisir, katanya.

“Apabila kecairan luar pesisir meningkat dengan jumlah yang lebih besar, malah korporat domestik dan perusahaan kecil dan sederhana mula mencari kaedah untuk melakukan transaksi urus niaga di pasaran luar pesisir.”

“Pasaran dalaman semakin berkurangan dan jika keadaan ini berterusan, kadar tukaran ringgit akan didorong sepenuhnya dan ditentukan oleh pasaran luar pesisir, menyebabkan ia turun naik dengan ketara berdasarkan perkembangan luaran.”

“Namun angkanya rendah berbanding hari ini,” kata Adnan.

Beliau berkata menerusi inisiatif FMC, BNM telah membetulkan kedudukan itu.

Jumlah dagangan dan kecairan di pasaran dalam negara bertahan dan semakin meningkat.

Lebih banyak pelabur dan syarikat asing kini berurus niaga di pasaran dalam talian sama ada secara langsung atau melalui aturan yang secara efektif merupakan lanjutan pasaran dalam negara.

Liberalisasi pasaran kewangan tempatan merupakan perjalanan yang penting dalam meningkatkan kecairan dan pengukuhan pasaran.

“Namun, kita perlu menyedari risikonya. Liberalisasi selanjutnya boleh dilakukan namun mestilah dalam bentuk yang seimbang dan dengan syarat yang akan memastikan bank pusat sentiasa mempunyai kapasiti pengawasan dan instrumen untuk campur tangan jika perlu,” katanya.

Pasaran perlu seimbang dan tidak boleh dibiarkan menilai dan menyelesaikan sendiri krisis.

“Namun pasaran juga perlu didorong oleh permintaan. Untuk itu, FMC perlu menggerakkan dan terus berusaha, memenuhi tuntutan pasaran yang sentiasa berubah dalam cara yang akan memenuhi aspirasi pasaran kewangan yang cekap, seimbang dan berdaya tahan,” kata Adnan. – MalaysiaGazette