Tan Sri Mohamad Fuzi Harun (tengah) mengadakan sidang media selepas melancarkan Tabung Prihatin Pengaman di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Ahli DAP Datuk Zaid Ibrahim akan disiasat di bawah Akta Hasutan 1946 kerana mempertikai teguran Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang bimbang tindakan pihak tertentu yang mengeksploitasi isu kaum agama dan perkara sensitif dalam usaha meraih Undi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kertas siasatannya telah pun dibuka ke atas bekas Menteri Kabinet itu dan polis akan melakukan apa yang patut dalam perkara itu.

“Kita akan siasat dia (Zaid) di bawah Seksyen 3 Akta Hasutan 1946 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Namun saya belum ada makllumat lengkap mengenai jumlah aduan atau laporan polis yang diterima ke atasnya dari orang awam,” katanya ketika ditanya dalam sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol) hari ini.

Beliau hadir bersama pengerusi Yayasan Pengaman Malaysia, Tan Sri Norian Mai dan melancarkan Tabung Prihatin Pengaman di Dewan Tan Sri Khalid Abu Bakar di sini.

Sebelum ini, Sultan Selangor bertitah, tindakan seumpama itu dilihat akan meletakkan negara ke arah kehancuran, yang mana isu tersebut sentiasa menjadi perkara yang dibincangkan serta dibimbangi oleh ke­semua sembilan raja Melayu.

Baginda turut menegur Dr. Mahathir yang sebelum ini menghina etnik Bugis dengan menyifatkan bekas Perdana Menteri itu sebagai pemimpin yang mempunyai sifat inferiority complex (rendah diri) serta diselubungi perasaan kebencian.

Bagaimanapun pandangan baginda dipertikai Zaid dalam akaun twitternya apabila bekas menteri itu dipetik sebagai berkata, “Sultan Selangor seharusnya lebih berhati-hati dengan kata-katanya. Tidak ada sesiapa yang kebal apabila negara terbakar.”

Baginda sebagai mengupas tuduhan itu menyifatkan Zaid tidak perlu mengajarnya kerana baginda memang cukup berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan sambil menggelar Zaid selalu mengeluarkan komen tidak tepat mengenai baginda sejak dulu dan sentiasa menentang institusi Raja.

Kenyataan Zaid turut dibidas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar sebagai biadap dan kurang ajar serta menghina rakyat Selangor dan institusi Sultan Selangor sambil menegaskan pihaknya akan menganjurkanm Himpunan Rakyat sebagai menyokong Sultan pada Ahad ini. – MalaysiaGazette