Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Noh Omar bercakap kepada media selepas Perhimpunan Agung UMNO 2017 ke 71 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 09 DISEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Tatkala Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak memberikan isyarat PRU-14 tidak lama lagi, semua ahli parti itu diingatkan supaya tidak mensabotaj parti jika tidak dicalonkan menjadi wakil rakyat.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Tan Sri Noh Omar, sifat taat setia terhadap parti perlu menebal dalam kalangan ahli biar pun tidak dicalonkan.

“Itu antara yang kita bimbangkan bahawa berlaku sabotaj di saat-saat akhir.

“Takut yang nak jadi calon di akhir-akhir tak dapat, jadi dalam perang kalau nak menang kena ada perpaduan,” katanya kepada media selepas mendengar ucapan penangguhan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak pada PAU2017 sebentar tadi.

Ujar Noh, semua ahli perlu sebulat suara menerima calon yang dikemukakan oleh Presiden biarpun tidak menepati citarasa peribadi masing-masing.

Ini kerana katanya, yang penting adalah sasaran kemenangan dua pertiga yang telah diletakkan Najib menjadi kenyataan.

“Tanpa perpaduan takkan ada kekuatan. Tanpa ada kekuatan kita tidak boleh menang. Kalau kita ini ibarat sampan, kita dah ada di atas air dan bersedia untuk mendayung,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.