Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
KUALA LUMPUR – Jangan libas sesama sendiri sebaliknya ahli dan jentera UMNO perlu membantu antara satu sama lain lebih-lebih lagi pada hari PRU-14.

Demikian kata Naib Presiden yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sambil mengingatkan mereka yang tidak terpilih sebagai calon agar tidak merajuk sebaliknya perlu membantu memangkan calon yang dipilih.

“Ingatlah, kita dalam satu pasukan. Janganlah libas sesama sendiri. Tolong satu sama lain, terutamanya pada hari D-Day (hari mengundi).

“Saya tidak mahu ada rajuk-merajuk dan tersentap hati. Berilah sokongan padu kepada kepada sesiapa saja yang terpilih sebagai calon.

“Jadilah seorang pengikut yang baik, kerana pemimpin yang baik bermula dari pengikut yang baik,” katanya ketika menyampaikan menggulung ucapan dasar presiden UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.

Ahmad Zahid juga memuji pendekatan yang dibawa Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak yang tidak lagi mengamalkan pemusatan kuasa seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Presiden yang telah memimpin kita, memecahkan tembok pemisah yang dulu ada dalam UMNO kerana metodologi kepimpinan sebelum beliau menumpukan kepada pemusatan kuasa individu, ianya terlalu power centric, authotarian.

“Tapi di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib kita lihat kaedah kepimpinan beliau dibuat secara bermusyawarah, ini satu pendekatan yang cukup berbeza

“Kaedah pelaksanaan jiwa jamai ini dengan mengadakan pemuafakatan adalah sesuatu yang memang kita dambakan selama ini,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh berkata lagi, zaman kerajaan tahu segala-galanya sudah berakhir kerana rakyat pada hari ini sudah celik.

“Malah zaman kami di atas ini tahu segalanya juga telah berakhir. Rakyat sudah matang dan mahu denyut nadi mereka didengar, kehendak rakyat mesti kita dahulukan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.