Mohamed Azmin
Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Walaupun ahli keluarganya sendiri terpalit dengan skandal rasuah di Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali nampaknya masih mahu menonjolkan dirinya sebagai pejuang melawan rasuah.

Azmin Ali

Baru-baru ini, seorang anak saudaranya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas keterlibatan dalam projek lombong.

Mohamed Azmin dalam kenyataannya hari ini membicarakan perihal mengenai rasuah tidak baik untuk sesebuah masyarakat dan merosakkan kemajuan negara.

“Bagaimanapun, kita perlu mengakui rasuah juga adalah isu hak asasi.

“Rasuah memberi kesan kepada hak asasi apabila kekayaan sepatutnya digunakan untuk memberi manfaat kepada orang ramai – meningkatkan tahap kesihatan, pendidikan, kehidupan – telah diselewengkan oleh individu berkuasa untuk keseronokan peribadi mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ia dilihat agak ‘menghairankan’ apabila Mohamed Azmin sebelum ini selepas terdedah mengenai skandal rasuah anak saudaranya ‘melompat’ marah dan mendakwa pula ia satu konspirasi yang dicipta oleh pihak tertentu untuk menjatuhkannya.

Tidak cukup itu, Timbalan Presiden PKR itu cuba mengungkit cerita lama mengenai soal 1MDB dengan membuat dakwaan wang rakyat diselewengkan.

“Kleptokrasi bersenang-lenang atas rasuah dan menggugat hak asasi semua rakyat Malaysia, dan juga mereka yang belum lahir, kerana kekayaan yang sepatutnya menjadi milik mereka telah dibawa keluar dari Malaysia,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Azmin turut mendabik dada kononnya berusaha untuk menjadikan Selangor sebuah negeri yang telus dan kononnya mengamalkan urus tadbir yang baik.

“Di Selangor, kita berusaha untuk menjadi bertanggungjawab kepada masyarakat, menjadi telus dalam urusan kewangan dan mengamalkan urus tadbir yang baik demi mengembalikan kekayaan negeri kepada rakyat supaya mereka dan anak-anak boleh menikmati masa depan lebih baik,” ujarnya. – MalaysiaGazette