Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bercakap kepada media selepas Perhimpunan Agung UMNO 2017 ke 71 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 09 DISEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU 2017) yang melabuhkan tirai hari ini merupakan petanda tugas untuk merencanakan agenda untuk memperkukuhkan kedudukan UMNO dan Barisan Nasional (BN) peringkat akar umbi kini terletak di tangan semua perwakilan parti.

Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, tugas itu digalas semua 2,718 perwakilan yang hadir di PAU 2107 kali ini dengan berbekalkan amanat yang telah disampaikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dalam sesi penangguhan persidangan tahunan parti itu.

“Presiden telah beri amanah dan amanat khususnya kepada semua perwakilan untuk balik dan turun ke akar umbi untuk memastikan kemenangan PRU14 nanti,” katanya ketika ditemui media selepas selesai mendengar sesi penangguhan PAU 2017 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Perhimpunan itu yang bermula pada 5 Disember lalu berakhir hari ini dengan Najib mensasarkan kemenangan dua pertiga pada PRU-14 kelak.

“Itu mesej yang jelas dan saya percaya bahawa apa yang akan dilaksanakan oleh perwakilan di peringkat akar umbi akan terus melaksanakan tanggungjawab mereka,” jelas Menteri Wilayah Persekutuan itu.

Dalam ucapan penangguhan PAU 2017, Najib tahu bahagian yang bermasalah dan menasihatkan agar ia diselesaikan segera sebelum palu PRU-14 dipalu olehnya kelak.

Malah jelasnya, isu calon atau tidak bukannya keputusan hati tetapi keputusan itu diputuskan oleh parti.

Justeru, semua ahli diminta untuk menerima keputusan yang telah dibuat parti dan menjauhi unsur-unsur sabotaj dek kerana kecewa tidak dicalonkan. -MalaysiaGazette.

Tinggalkan Jawapan