Foto keakraban Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang ditunjukkan perdana menteri semasa sesi penggulungan usul ucapan ucapan presiden di Perhimpunan Agung UMNO 2017.

KUALA LUMPUR – Setiakawan yang sudah lama terjalin dan dibawa sehingga sekarang antara Datuk Seri Najib Razak dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjadi faktor yang membawa kekuatan baharu untuk UMNO.

Presiden UMNO itu hari ini mengimbau kembali kisah lampaunya pada tahun 1988 semasa membantu Ahmad Zahid bertanding jawatan Ketua Pemuda ketika itu walaupun mendapat tentangan daripada pimpinan Bagan Datoh.

“Saya nak cerita banyak peristiwa kami lalui, tapi ada satu nak kongsi dengan perwakilan hari ini, tahun 1988 YAB Ahmad Zahid masa itu Ketua Pemuda Bahagian Bagan Datoh ditekan dengan begitu dahsyat pimpinan Bahagian Datoh.

“Dan saya diminta oleh Datuk Zahid tolong pergi rasmi persidangan Pemuda Bahagian Datoh, saya pun beranikan diri pergi sana, saya tahu pimpinan bahagian betul-betul menentang, saya tidak kisah, apa nak jadi jadi lah saya tetap pertahankan sahabat saya,” kata Najib semasa ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2017 di PWTC hari ini.

Para perwakilan terdahulu tergelak sejurus gambar Najib dan Ahmad Zahid semasa muda dipaparkan dalam skrin utama di Dewan Merdeka apabila diusik dengan perwakilan yang mengatakan Zahid nampak ‘jambu’ ketika muda.

Menurut Najib, semasa pertandingan itu Ahmad Zahid mendapat majoriti 11 undi memandangkan ia sangat sengit.

Najib berkata, daripada kisah tersebut ia boleh dijadikan iktibar apabila ketika kesusahan menimpa dirinya, Ahmad Zahid tampil untuk kembali membantunya.

“Saya tidak peduli, prinsipnya senang susah kita mesti bersama dengan kawan kita.

“Sebab itu lah kitaran roda siapa tahu, dua tahun lalu, timbalan saya masa itu buat angkara pula, Datuk Zahid tampil ke depan dia pula pertahankan saya,” ujarnya lagi.

Disebabkan itu, Najib berkata ia memberika kekuatan baharu kepada UMNO yang pulih daripada kemelut dalaman sebelum ini.

“Itu orang kata the irony of history, sebab Datuk Zahid tidak lupa kepada kawan, sebab itu parti UMNO kini pulih dengan kekuatan yang baharu,” ujarnya. – MalaysiaGazette