XPDC dan Cromok akan berkongsi pentas menerusi konsert Metal Legends Live In Concert di Maeps, Serdang pada 3 Februari 2018.

KUALA LUMPUR – Sejarah bakal tercipta apabila dua kumpulan rock legenda tempatan, XPDC dan Cromok akan berkongsi pentas menerusi konsert Metal Legends Live In Concert di Maeps, Serdang.

Konsert yang pertama kali menggabungkan dua kumpulan yang memiliki peminat rock metal tersendiri itu akan diadakan pada 3 Februari depan bermula pukul 8.30 malam.

Cromok tidak perlu diperkenalkan lagi sebagai kumpulan yang dianggap perintis muzik thrash metal tempatan dan kini sudah 31 tahun berada dalam industri muzik.

Dianggotai oleh Sam selaku pemain bes dan vokal, Karl (gitar) dan Miji (dram) Cromok cukup dikenali dengan lagu mereka seperti Another You, I Do Not Belong Here, Misty dan Memories.

Menurut Karl, mereka menganggap konsert ini dapat mengubati kerinduan peminat muzik Cromok.

“Dah lama kami tidak beraksi di konsert. Jadi, menerusi konsert ini, bukan kami sahaja yang dapat mengubati kerinduan untuk beraksi tetapi peminat juga dapat sama-sama mengenang kembali memori lama mereka bersama Cromok,” katanya pada sidang media konsert tersebut, baru-baru ini.

Sementara itu, kumpulan XPDC yang sudah beraksi selama 28 tahun dalam industri seni tempatan sempat menyatakan keterujaan mereka untuk beraksi bersama dengan Cromok.

“Pastinya XPDC akan memberi persembahan terbaik untuk konsert ini. Kami sendiri tidak sabar untuk beraksi bersama-sama dengan Cromok,” kata Zuar yang juga merupakan pemain bes kumpulan XPDC.

Selain Zuar, XPDC yang juga dikenali dengan gelaran King of Stage ini turut dianggotai oleh Mael selaku vokalis, Jeff (gitar) dan Amy (dram).

Bukan sahaja XPDC dan Cromok sahaja yang akan menjadi tumpuan pada malam itu, sebaliknya konsert malam itu turut menampilkan sistem bunyi yang cukup mantap dengan penggunaan sejumlah 64 Subbass.

Konsert ini juga menelan kos sebanyak lebih RM500,000. Konsep untuk konsert pada malam itu direka oleh Karl Cromok yang pastinya akan membuat penonton terbang dalam arena muzik metal kedua-dua kumpulan.

Tiket sudah mula dijual di www.ilassoticket.com pada harga bermula RM68 (trash zone), RM120 (hardcore zone) dan RM250 (vip & backstage zone).

Tiket-tiket juga dijual di XPDC Kita Peng Yu Shop (Uptown Kota Damansara) dan XPDC Bundle & Alteration Jeans (Kajang).

Pembelian tiket menerusi agen juga boleh dilakukan dengan menghubungi Yazid (011-35030241), Faizal (016-2598872), Azhar (017-2630437) dan Bro (01136076678). – MalaysiaGazette