Simulasi anti-keganasan di klia2

KUALA LUMPUR – Satu simulasi menghadapi keadaan tidak diduga telah dijalankan di terminal kedua Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) semalam.

Simulasi penuh itu merupakan latihan tahunan berjadual dilaksanakan oleh pengurusan Malaysia Airports bagi memastikan kesiapsiagaan terhadap sebarang ancaman, kemalangan dan bencana alam.

Menurut Malaysia Airports dalam kenyataannya di sini hari ini, eksesais tersebut melibatkan penyertaan lebih 500 anggota daripada pelbagai agensi seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) selain kakitangan syarikat penerbangan dan Malaysia Airports sendiri.

Eksesais selama 16 jam itu secara khususnya memberi fokus kepada langkah dan tindakan yang perlu diambil sekiranya berlaku ancaman keganasan di dalam terminal.

Ia merupakan sesi selama tiga hari yang bermula 7 Disember lalu yang meliputi bengkel dan eksesais di lapangan.

Dalam ucapannya, Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Badlisham Ghazali berkata, pengendali lapangan terbang itu memberikan komitmen yang tinggi untuk memastikan keselamatan dan kawalan kepada pengguna lapangan terbang.

“Terdapat trend peningkatan akhir-akhir ini yang menjadikan lapangan terbang sebagai sasaran keganasan.

“Sebagai sebuah pengendali lapangan terbang, kami bertanggung jawab untuk memastikan tempat ini selamat bukan sahaja kepada pengguna malah kepada keselamatan negara juga dengan melakukan persiapan sepatutnya,” katanya.

Ini merupakan eksesais kedua yang menekankan aspek membenteras keganasan selepas diadakan kali pertama di Lapangan Terbang Kota Kinabalu tahun lepas.

Satu lagi eksesais berskala penuh dijadualkan diadakan di Lapangan Terbang Sandakan pada 12 Disember hingga 15 Disember ini. – MalaysiaGazette