Exco Pemuda UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah memberi ucapan pada himpunan solidariti rakyat Selangor di Seksyen 16, Shah Alam, Selangor. foto IQBAL BASRI, 10 DISEMBER 2017.

SHAH ALAM – Rakyat Selangor mahu aktivis politik yang juga ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim dihalau keluar dari negeri ini.

Wakil kumpulan solidariti rakyat Selangor, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, tidak ada tempat bagi penderhaka sultan dan pengkhianat negara berada di tanah air ini.

“Kamu orang (rakyat) Kelantan, kami orang Selangor. Kamu patut tinggal di sana (Kelantan), bukan di sini (Selangor),” katanya berucap pada himpunan solidariti rakyat Selangor di Dataran Mayang Flat PKNS di seksyen 16 di sini hari ini.

Kira-kira 1,000 rakyat Selangor terdiri daripada Melayu, Cina, India dan Masyarakat Orang Asli berhimpun sejak jam 9 pagi untuk menyatakan rasa tidak puas hati mereka kepada Zaid yang dikatakan telah menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menurut Armand Azha, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali gagal mengawal dua rakan politiknya ialah Zaid dan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dari sesuka hati menghina sultan.

Sehubungan itu, beliau yang juga anggota Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, menggesa Mohamed Azmin meletakkan jawatan kerana gagal mempertahankan maruah Sultan Selangor, yang sebelum ini berkenan melantiknya sebagai menteri besar.

“Kalau Zaid dan Mahathir gagal dikawal, macam mana seorang menteri besar mahu menjaga keseluruhan rakyat Selangor.

“Dia (Mohamed Azmin) patut letak jawatan,” katanya sambil menambah rakyat Selangor akan bangkit membuat perubahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).

Katanya, pada PRU 14 itu, rakyat akan menentukan siapa Menteri Besar Selangor.

Beliau turut menjelaskan, sesiapa saja boleh berpolitik dan bermain parti, tetapi jangan sampai tahap menghina sultan.

Armand Azha berkata, beliau tidak menolak kemungkinan Zaid yang menjadi kuda tunggangan DAP mempunyai perancangan teliti dan rapi untuk meruntuhkan institusi raja.

Pada himpunan itu, peserta solidariti membawa plakad bertulis, “Daulat Tuanku! Suara Rakyat Ampang. Zaid, Tun Mahathir Derhaka, Pengkhianat, Biadab”, “Rakyat Pandan Mengecam Zaid Hina DYMM Sultan Selangor” dan “ Suara Rakyat Sungai Besar, Jangan Hina Sultan Kami”.

Mereka juga menyanyikan lagu patriotik “Inilah Barisan Kita” sambil melaungkan “Daulat Tuanku” beberapa kali. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. bolih halau zaid dengan syarat bubar malaysia dan mansuh kuasa Persekutuan . kita bulih hidup masing² negeri . Johor suku Kelantan suku Selangor suku . ini akan lebih senang memerintah . pm tak perlu lagi mb merintah negeri

Comments are closed.