Reaksi bersemangat peserta pada himpunan solidariti rakyat Selangor mengecam Zaid Ibrahim di Seksyen 16, Shah Alam, Selangor. foto IQBAL BASRI, 10 DISEMBER 2017.

SHAH ALAM – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Datuk Zainal Abidin Sakom memberi amaran kepada Datuk Zaid Ibrahim agar tidak lagi mengulangi perbuatan berbentuk menghina Sultan Selangor.

Beliau juga menasihatkan kepada aktivis yang juga ahli DAP itu agar tidak lagi tinggal di Selangor kerana seluruh rakyat negeri itu marah serta benci kepadanya.

Beliau berharap, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) yang bakal berpihak kepada Barisan Nasional (BN), Zaid tidak akan tinggal di negeri ini lagi.

“Bukan setakat sultan, rakyat Selangor juga tidak boleh menerima penghinaan Zaid terhadap sultan kami.

“Kami tahu sultan kami. Apa yang baginda titah, itu adalah benar dan semua pihak yang ditegur harus menjadikannya sebagai pengajaran, bukan membalas dalam bentuk penghinaan dan penderhakaan,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada himpunan solidariti rakyat Selangor mengecam Zaid Ibrahim di Dataran Mayang, Flat PKNS, Seksyen 16 di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi; ADUN Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan dan anggota Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Armand Azha Abu Hanifah.

Ketika berucap Zainal Abidin turut menaikkan gambar Zaid sambil menyatakan kepada hadirin yang hadir bahawa itulah wajah pengkhianat.

Sementara itu, Presiden Persatuan Silat Kebangsaan Negeri Selangor (Pesaka), Sulleh Udin menyatakan seluruh ahli persatuan itu berdiri teguh dan taat setia kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menurutnya, Pesaka akan mempertahankan Kesetiaan Kepada Raja dan Negara serta Keluhuran Perlembagaan dalam Rukun Negara daripada diperkotak-katikkan sewenang-wenangnya oleh pihak tertentu untuk menghancurkan institusi Raja Melayu.

Khamis lalu, Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dengan kenyataan Zaid yang disifatkan sebagai biadab kerana memutarbelit titah baginda mengenai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sultan dipetik sebuah akhbar bertitah, baginda dukacita dengan kenyataan Zaid dan menyifatkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu sebagai biadab.

“Saya dukacita dengan komen Zaid Ibrahim dalam Twitternya yang mengulas kenyataan saya (mengenai Dr. Mahathir) dalam akhbar The Star. Saya minta Zaid Ibrahim baca dengan teliti kenyataan saya dan dapatkan fakta yang betul sebelum buka mulut,” titah baginda.

Lantaran itu, Sultan Sharafuddin mengarahkan Zaid supaya keluar dari Selangor sekiranya tidak bersetuju dengan teguran baginda kepada Dr Mahathir.

“Dia duduk di Selangor, baliklah Kelantan kalau tak setuju, buat rumah besar-besar dan tolong rakyat Kelantan. Jangan cari rezeki di Selangor”.

Baginda Sultan menerusi temubual bersama akhbar The Star sebelum ini menegur Dr Mahathir berhubung isu penghinaan keturunan Bugis, isu kerugian Bank Negara berikutan dagangan mata wang asing serta pengkhianatan kepada UMNO.

Jelas Sultan, baginda sering mendapatkan maklumat secukupnya sebelum melontarkan apa jua komen atau mengeluarkan kenyataan rasmi dari pihak Istana.

Tegas baginda di dalam wawancara berkenaan, Dr Mahathir mempunyai sifat rendah diri yang diselubungi dengan kebencian. – MalaysiaGazette