Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris.

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran agar kembali semula kepada negara pertanian berteknologi pada masa akan datang.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamad Aris berkata, ini kerana bidang pertanian memberi kesan kepada kos sara hidup, cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta penyokong kuat Barisan Nasional (BN) di luar bandar.

“Hari ini kita tidak dapat mengawal harga barangan asas seperti beras, kelapa, daging lembu dan susu  serta barangan keperluan lain.

“Kita tahu barang-barang ini tidak dikenakan GST dan masyarakat luar bandar terpaksa menerima kesan kenaikan harga barangan asas ini.

“Ini kerana kebergantungan negara kepada barangan asas yang diimport,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Temubual bersama Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Najmil Faiz Mohamed Aris pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 ke 71 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 08 DISEMBER 2017

Najmil Faiz sepatutnya menjadi wakil Terengganu pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 yang berakhir semalam untuk membahaskan usul ekonomi namun tidak dapat berbuat demikian kerana kekangan waktu para pembahas.

Mengulas lanjut, beliau menambah, walaupun kerajaan mengawal harga barang tetapi pertukaran mata wang asing membuat negara perlu membayar perbezaan nilai sesuatu mata wang kerana tidak mempunyai barangan asas keluaran tempatan.

Ujarnya lebih parah apabila orang tengah barangan asas ini adalah bukan di kalangan Bumiputera.

“Mereka ini mengeruhkan lagi keadaan dengan mensabotajkan negara dengan menaikkan harga barang sewenang-wenangnya.

“Jadi tahniah kepada Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri apabila menjadikan Felcra sebaga gedung makanan negara.

“Saya juga mencadangkan agar kerajaan mewartakan tanah untuk pertanian supaya kita dapat fokus semula bidang pertanian memandangkan kita sudah ketinggalan selama 25 tahun.

“Kita harus fokus kepada pertaniaan berteknologi tinggi kerana susu paling mahal di dunia adalah di Malaysia,” katanya yang juga Ketua Pengarah Seranta Felcra. – MalaysiaGazette