Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Dua pemancing dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki mereka karam di lokasi kira-kira 0.5 batu nautika (0.926 kilometer) timur Abu Bakar Maritim Base (ABMB) di perairan Batuan Tengah dekat Kota Tinggi semalam.

Susulan kejadian itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Selatan sudah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) selepas menerima laporan dari ABMB pada pukuk 4.20 petang.

Mangsa yang hilang ialah Tan Soon Heng, 35, dan Chan Chong Kuok, 51.

Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia Wilayah Selatan, Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata, bot peronda pasukan itu sudah dikejarkan ke kawasan itu bagi membantu menyelamatkan mangsa sejurus mendapat maklumat.

“Operasi SAR masih diteruskan hari ini membabitkan aset dari Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin (PPM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan kekuatan 30 anggota pasukan penyelamat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – MalaysiaGazette