Pengerusi MARA, Datuk Awang Adek Hussin (tengah) bersama Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki (dua kanan) dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf (dua kiri) bergambar pada Majlis Pelancaran Polisi Perlindungan Pemberi Maklumat MARA dan Ikrar Bebas Rasuah di Hotel Premiera, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 11 DISEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Majikan bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang jika didapati memecat pekerja yang memberikan maklumat berkenaan dengan salah laku atau penyelewengan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) agensi itu Datuk Sri Azam Baki berkata, jika didapati berlakunya tindakan sedemikian, pemberi maklumat di dalam sesebuah organisasi boleh diberi pampasan termasuklah dipanggil semula untuk berkhidmat.

“Di pihak SPRM sekiranya pemberi maklumat ini dikenakan tindakan tidak wajar oleh pihak majikan maka dia boleh dapat haknya.

“Akan ada kes-kes yang akan dipersetujui oleh timbalan pendakwa raya contohnya diambil kembali bekerja atau dibayar pampasan dan sebagainya,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Polisi Perlindungan Pemberi Maklumat Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebentar tadi.

Kira-kira 600 kakitangan MARA hadir pada majlis itu demi menyatakan komitmen dalam menggerakkan kesedaran pentingnya menolak amalan rasuah dan salah guna kuasa bagi menjamin keutuhan entiti itu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki bercakap kepada media pada Majlis Pelancaran Polisi Perlindungan Pemberi Maklumat MARA dan Ikrar Bebas Rasuah di Hotel Premiera, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 11 DISEMBER 2017

Mengulas lanjut Azam berkata, SPRM telah membuka lapan kertas siasatan mengenai tindakan terhadap pekerja yang memberi maklumat semenjak tahun lalu dan jumlah itu meningkat bagi tahun ini.

Beliau selain itu memaklumkan, usaha SPRM yang sentiasa konsisten untuk mempromosikan hak perindungan pemberi maklumat untuk melaporkan kes-kes rasuah kini memperlihatkan hasil yang positif.

“Kebelakangan ini usaha SPRM sendiri untuk menggalakkan orang ramai memberikan maklumat dan diberi perlindungan di bawah Akta Pemberi Maklumat 2010 ini adalah menggalakkan.

“Nampaknya ramai orang telah sedar dan melihat kepada kebaikan akta ini,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

Kongsi

Tinggalkan Jawapan