Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Pas sentiasa bersedia membuka pintu kerjasama dengan mana-mana parti yang menerima dasar Islam yang dibawanya.

Bagaimanapun, pada masa sama, Pas mengakui perit bekerjasama dengan parti yang hanya rasa penting untuk bersama, tetapi menyerangnya selepas itu.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas akan terus kekal dengan dasar dan prinsip itu, asalkan perjuangannya membangun bersama Islam tidak ditinggalkan.

“Walaupun beberapa kali Pas dibuli bila menyambut salam kerjasama, Pas tidak pernah kesal dengan keputusan yang telah diambil kerana semua keputusan parti dibuat melalui perbincangan, muktamar dan panduan Majlis Syura.

“Sepanjang perjuangan ini pun Pas kehilangan rakan seperjuangan, rakan politik, markas, Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) dan pelbagai harta yang diwakafkan oleh ahli dan penyokong kami.

“Dengan itu, silaplah kalau pihak tertentu menganggap perjuangan Pas ialah perjuangan mendapatkan kekuasaan semata-mata sebagaimana mereka,” katanya dalam tulisan “Dari Madinatul Munawarah”.

Menurut beliau lagi, Pas menelan apa saja telahan pihak berkenaan walaupun ada yang menuduh harta benda dan habuan dunia telah menjadikan pandangan Pas ‘buta’ sehingga tidak lagi nampak apa yang mereka nampak.

“Oleh itu, mereka akan merasa hairan bilamana Pas dilihat ‘menolak’ peluang kemenangan di hadapan mata.

“Mereka juga binggung Pas tidak berkelakuan seperti mereka. Mereka tidak faham mengapa Pas sanggup bersedia berisiko kalah demi mempertahankan dasar parti.

“Mereka tidak boleh terima cara Pas yang terus menentang sebarang bentuk mungkar dalam apa juga bentuk dan sedia mendokong kebaikan serta takwa dalam apa juga keadaan tanpa mengira siapa,” katanya.

Tuan Ibrahim mendakwa, Pas adalah parti paling awal menentang kebatilan, kezaliman dan salah urus tadbir negara serta antara parti politik yang menyertai pilihanraya sejak pertama kali diadakan.

Mengenai kesediaan Pas bekerjasama dengan parti lain, beliau menjelaskan, agendanya adalah untuk mempertahankan prinsip dan dasar Islam yang menjadi denyut nadi perjuangan parti.

Katanya, Pas sentiasa mencari jalan terbaik untuk kemenangan agama bagi membolehkan Islam terlaksana dalam urus tadbir dan sampai ke destinasi. – MalaysiaGazette