Home Nasional Pilih anggota majlis yang boleh buat kerja

Pilih anggota majlis yang boleh buat kerja

25
0
Hamdan Adnan

KUALA LUMPUR – Majlis Tindakan Sara Hidup Negara perlu dianggotai oleh ahli-ahli yang betul dan tepat serta boleh membawa suara pengguna.

Paling penting, ahli-ahli majlis itu mestilah terdiri daripada individu yang boleh buat kerja dan bukan kaki bodek.

Tokoh pengguna, Prof. Datuk Hamdan Adnan berkata, tidak guna mewujudkan berbagai jawatankuasa atau majlis jika ia tidak berfungsi sebaik-baiknya.

“Isu kos sara hidup ini bukan isu baru. Malah sebelum ini pelbagai jawatankuasa berhubung kos sara hidup dibentuk melalui Suhakam, Jawatankuasa Khas Kabinet Tangani Kenaikan Kos Sara Hidup dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara. Tapi apa sudah jadi dengan semua ini?,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurutnya, idea penubuhan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara memang baik, jika objektifnya berjaya mengurangkan rungutan dan keluh kesah rakyat.

Jelas beliau, majoriti rakyat negara ini sudah tidak boleh menampung kehidupan mereka jika semua keperluan dan perkhidmatan menyaksikan kenaikan harga yang melampau, sedangkan kenaikan gaji perlahan.

Lantaran itu, majlis tersebut perlu lebih teliti, fokus dan komprehensif dalam menangani isu utama rakyat Malaysia.

“Rungutan pengguna rata-ratanya sama sahaja – mereka merungut kenaikan kos hidup sebab harga barang-barang dan perkhidmatan mahal. Pengguna persoalkan mengapa barang yang sama tetapi harga berbeza antara satu pasar raya dengan yang lain, walaupun terletak di satu kawasan.

“Mengapa peniaga sewenang-wenangnya naikkan harga. Mengapa tidak ada pemantauan secara berkesan, apa tindakan kerajaan dalam menangani isu-isu ini. Ini sahaja perkara-perkara yang menghantui rakyat selama ini.

“Jadi, kali ini kena buat betul-betul, nawaitu betul, ahli-ahli perlu memiliki keprihatinan yang tinggi dan serius untuk berkhidmat, maka tidak sia-sialah majlis ini ditubuhkan.

“Bukan apa, setiap kali jawatankuasa atau majlis yang diwujudkan ia memerlukan perbelanjaan. Jangan tubuhkan banyak badan, kemudian biarkan. Akhirnya jadi bahan lawak sahaja,” tegasnya.

Semasa Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, Kerajaan Barisan Nasional (BN) mengumumkan penubuhan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara bagi menangani kenaikan kos hidup di negara ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang mengumumkannya berkata, majlis itu ditubuhkan atas arahan Perdana Menteri.

Hamzah berkata, Timbalan Perdana Menteri selaku Pengerusi Jawatankuasa Kos Sara Hidup telah mengarahkan setiap faktor yang menyumbang kepada inflasi seperti perumahan, pengangkutan, utiliti, dan sudah tentu makanan dan minuman akan diberikan fokus dalam perbincangan majlis berkenaan. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan