Pemilik, Mahani Awang menunjukkan antara makanan yang boleh didapati di Restoran Nasi Malaya, Kajang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 05 DISEMBER 2017.

BANGI – Baru dibuka tidak sampai sebulan, Restoran Nasi Malaya yang terletak di Sungai Tangkas di sini mula menjadi sebutan ramai.

Semuanya gara-gara hidangan yang dijual adalah menu yang kini mula menjadi fenomena dalam kalangan masyarakat iaitu Nasi Malaya.

Nasi Malaya ialah nasi putih berlaukkan pilihan menu iaitu ayam goreng telur masin, daging dendeng atau sambal sotong bersama sayur kobis dan kuah kari.

Nasi Malaya Ayam Telur Masin antara makanan yang boleh didapati di Restoran Nasi Malaya, Kajang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 05 DISEMBER 2017.

Namun yang membuat restoran menjadi tumpuan adalah rasa sambalnya yang enak dan unik iaitu manis-manis pedas.

Lebih santai, ia dimakan beralaskan kertas dan bukannya di atas pinggan.

Jangan terkejut kerana harga serendah RM6.90 dengan bahagian nasi yang banyak dan cukup terasa puas serta kenyang.

Sudah pasti nilai berbaloi itu sukar diperolehi di Lembah Klang, sekali gus menjadikannya menu pilihan orang ramai terutama di kalangan pelajar universiti.

Pemilik restoran, Mahani Awang berkata, Nasi Malaya Konsep Nasi Malaya popular di Johor pada tahun 1950-an selepas Malaya ditubuhkan.

Jelasnya, ia diilhamkan daripada cara makan yang ringkas dan segera iaitu apa yang dimakan pada hari ini iaitu nasi campur pada zaman itu.

Nasi Malaya Daging Dendeng antara makanan yang boleh didapati di Restoran Nasi Malaya, Kajang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 05 DISEMBER 2017.

“sebenarnya nasi campur juga berbeza-beza mengikut negeri termasuk nasi berlauk, nasi ambang dan nasi lemak bungkus juga adalah konsep makan Malaya kerana lauk pauknya tidak dihidangkan di dalam pinggan berasingan tetapi dilonggokkan dalam satu pinggan.

“Jadi sesuai dengan konsep dan makan cara ringkas, Nasi Malaya memang relevan untuk hidangan masa kini ketika masyarakat semakin sibuk dan mahukan hidangan yang mudah, cepat dan sedap dengan harga yang berpatutan.

Mengulas lanjut, Mahani memberitahu, restoran makan tersebut diusahakan bersama suaminya yang sebelum ini merupakan cawangan Restoran Tupai-Tupai.

Jelasnya, kesemua resipi makanan di restorannya itu adalah ideanya sendiri dalam memberi kelainan rasa kepada pengunjung.

Katanya, sebagai tarikan utama, restoran itu turut menyediakan kari kepala ikan jenahak stim dan ikan tilapia stim sos soya.

Kari Kepala Ikan antara makanan yang boleh didapati di Restoran Nasi Malaya, Kajang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 05 DISEMBER 2017.

“Dua menu ini merupakan pilihan kepada pengunjung dan mereka pasti terkejut kerana harganya adalah RM36 dan RM25 sahaja serta boleh dimakan antara tiga ke empat orang.

“Pada masa sama, saya juga menampilkan menu tambahan lain seperti nasi goreng daging, kantonis mee yee, bihun goreng Singapura dan bubur ayam yang semuanya berharga RM6.90.

“Menu ini merupakan pilihan kepada pengunjung jika mereka ingin mencuba selera lain,” katanya tersenyum.

Bubur Ayam antara makanan yang boleh didapati di Restoran Nasi Malaya, Kajang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 05 DISEMBER 2017.

Mahani juga memberitahu,  restoran setingkat ini menampilkan dekorasinya yang mirip kedai kopi zaman silam.

Katanya, keunikan dekorasi itu menarik perhatian apabila pelbagai hiasan dan aksesori seperti cawan lawan dan dulang memenuhi beberapa sudut hingga mendorong pelanggan merakam kenangan selepas menjamu selera.

Sementara itu, orang ramai yang ingin mencuba menu di sana, Restoran Nasi Malaya dibuka setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 10 malam. – MalaysiaGazette

Radio lama juga salah punca tarikan orang ramai untuk pergi ke Restoran Nasi Malaya, Kajang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 05 DISEMBER 2017.