Home Ekonomi Rangka kerja penyelesaian mata wang pelengkap

Rangka kerja penyelesaian mata wang pelengkap

Muhammad Ibrahim
Muhammad Ibrahim

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Rangka Kerja Penyelesaian Perdagangan Mata Wang Tempatan antara Bank Negara Malaysia (BNM) – Bank Indonesia (BI) dan Bank of Thailand (BOT) serta pengembangan Rangka Kerja BNM-BOT akan melengkapi kerjasama sedia ada negara-negara terbabit yang berkongsi objektif dan aspirasi sama.

Gabenor BNM, Tan Sri Muhammad Ibrahim berkata, ketiga-tiga rangka kerja berkenaan iaitu rangka kerja rupiah-ringgit dan baht-ringgit yang diperluaskan, akan berkuat kuasa mulai 2 Januari 2018.

Beliau turut menyifatkan Indonesia dan Thailand sebagai rakan penting untuk Malaysia di rantau ini, baik dari segi perdagangan dan pelaburan langsung yang menyaksikan kepesatan pertumbuhan itu dipacu oleh kaitan antara syarikat sera pelaburan rentas sempadan.

 “Pada 2016, jumlah dagangan dua hala Malaysia dengan Indonesia sebanyak AS$13.8 bilion (AS$1= RM4.08) manakala dengan Thailand mencecah AS$13 bilion.

“Bagaimanapun, hanya 5.8 peratus dan 11.4 peratus daripada dagangan kita dengan Indonesia dan Thailand yang membabitkan mata wang tempatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Muhammad berkata, keadaan sama turut melibatkan aspek pelaburan yang menyaksikan Malaysia membuat pelaburan langsung masing-masing sebanyak AS$13 bilion dan AS$2 bilion ke Indonesia dan Thailand pada suku kedua 2017.

“Ini merupakan peluang perniagaan yang besar bagi sektor kewangan yang menunggu masa untuk direalisasikan,” katanya.

Muhammad berkata, menerusi penguatkuasaan tiga rangka kerja itu juga, negara-negara tersebut berjaya mencapai kemuncak inisiatif serantau baharu membabitkan pelaksanaan penyelesaian rentas sempadan dalam mata wang tempatan bagi perdagangan dan pelaburan langsung.

“Kita menjangkakan usaha itu akan diperkukuhkan lagi, disokong oleh perdagangan intra-Asean yang mantap dan menyumbang sebanyak AS$521 bilion atau 23.5 peratus dalam jumlah dagangan pada 2016,” katanya.

Menurutnya, pada tahun lepas, pelaburan intra-Asean meningkat kepada AS$24 bilion dan menyumbang 25 peratus daripada aliran pelaburan langsung asing ke dalam rantau itu.

“Sehubungan itu, saya berharap untuk menyaksikan peningkatan penggunaan rupiah, baht dan ringgit dalam penyelesaian perdagangan rentas sempadan masing-masing antara Malaysia dan Indonesia serta Thailand dan Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette