Zaid Ibrahim
Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim bersedia memberi kerjasama kepada polis sekiranya dipanggil untuk soal siasat berhubung kenyataannya dalam aplikasi twitter yang menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang baru pulih dari pembedahan prostat itu berkata, beliau menjangkakan didakwa di bawah akta hasutan sekiranya hasil siasatan menunjukkan kenyataannya itu mempunyai unsur menghasut.

“Saya jangka dipanggil ke Bukit Aman dalam tempoh beberapa hari ini untuk menjawab soalan mengenai tulisan saya dalam twitter, yang menimbulkan kemarahan sultan dan rakyat.

“Bagaimanapun, saya beri jaminan akan memberi kerjasama penuh dan menjawab soalan mereka (polis) mengenai apa yang saya tulis itu,” katanya menerusi blog beliau hari ini.

Kenyataan Zaid yang berbaur penghinaan terhadap Sultan Selangor itu mencetuskan kemarahan rakyat, sehingga beberapa pemimpin UMNO negeri itu menganjurkan perhimpunan mengutuk beliau, termasuk membakar gambarnya sebagai tanda marah.

Jelas beliau, UMNO sentiasa akan mengambil kesempatan itu untuk menunjukkan solidariti dan mencetuskan provokasi dengan perkataan kasar seperti biadab, derhaka, bangsat dan kurang ajar.

“UMNO ambil kesempatan ini atas nama kepentingan parti dan politik. Mereka berhimpun dan membakar gambar saya termasuk memanggil nama saya dengan kata-kata kesat. UMNO memang suka dengan perbuatan seperti itu,” katanya.

Zaid turut mengucapkan terima kasih kepada polis kerana menahan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunus kerana mengancam untuk menghancurkan kepalanya dengan tukul besi.

“Tetapi, mujurlah polis menangkapnya. Saya juga ucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana meyakinkan beliau akan keselamatan diri saya,” katanya. – MalaysiaGazette