Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Perihatin (PMSP), Ramesh Rao menawarkan RM5,000 kepada mana-mana individu yang berjaya menunjukkan dimana kubur ibu bapa Lim Kit Siang pada sidang media ringkas dihadapan Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya, Selangor. foto SAFWAN MANSOR, 12 DISEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) menawarkan ganjaran sebanyak RM5,000 seandainya mana-mana invidu berjaya membongkarkan atau mengenalpasti ‘kubur’ mendiang ibu dan bapa Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang.

Tawaran mengejutkan yang ditawarkan Presiden PMSP, Ramesh Rao itu sebenarnya bertujuan untuk menyiasat asal usul kelahiran Kit Siang yang sehingga hari ini menimbulkan tanda tanya dan kekeliruan.

Menurut Ramesh Rao, Kit Siang yang juga merupakan Penasihat DAP seringkali ‘memanipulasi’ tempat kelahiran beliau menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) bagi tujuan mendapatkan undi kawasan tertentu.

“Saya ingin tawarkan RM5,000 kepada seluruh rakyat Malaysia sekiranya berjaya membongkarkan kubur ibu bapa Kit Siang di negara ini, sekali gus teka teki tempat kelahirannya terjawab.

“Saya juga berbesar hati tawarkan RM5,000 untuk keluarga Kit Siang untuk bantu bongkar persoalan ini.

“Sebelum ini beberapa ahli veteran DAP mendakwa Kit Siang dilahirkan di Zhangzhou, daerah Fujian, China pada 1941 sebelum memasuki Malaysia pada 1957.

“Persoalan mula timbul apabila ada maklumat internet yang mendakwa Kit Siang tiba di Malaysia pada tahun 1957 disunting dan bertukar kepada lahir di daerah ini pada 20 Februari 1941.

“Saya sebelum ini telah memohon bantuan daripada pihak polis dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selepas gagal mendapat maklumat berkenaan. Tujuan saya Cuma satu, saya tidak mahu pengundi kita terpedaya dengan tipu helah Kit Siang,” katanya kepada pemberita di luar Ibu Pejabat Polis Derah Petaling Jaya sebentar tadi.

Jelas Ramesh Rao, Kit Siang sebelum ini pernah beberapa kali mendakwa dirinya lahir di Batu Pahat, Johor, Pulau Pinang, Perak dan Melaka dalam siri jelajah kempen PRU sejak tahun 1969.

“Kami mahu kepastian dengan segera kerana saya dimaklumkan oleh veteran DAP bahawa ibu bapa Kit Siang tidak pernah menjejakkan kaki di bumi Malaysia, jadi bagaimana beliau dikatakan lahir di negara ini.

“Malah, beliau dalam kempen politiknya sebelum ini pernah membuat pendedahan yang bercanggah kerana ketika di Pulau Pinang, dia kata dia anak Pulau Pinang, ketika kempen di Melaka dia kata dia orang Melaka dan begitu juga di Johor.

“Sehingga kini pun, beliau tidak pernah memberikan apa-apa bukti konsisten tentang kelahiran beliau malah sering berdolak dalih dan menjadi berang setiap kali saya mempersoalkan tempat kelahiran beliau.

“Saya tidak pasti pula untuk PRU kali ini, beliau lahir di mana? Cukup cukuplah perbodohkan rakyat,” tegasnya.

Baru-baru ini, ketika disoal sekumpulan wartawan mengasak Kit Siang tentang persoalan kelahiran beliau di Parlimen, beliau menjadi berang dan bertindak menegur mereka.

Tegas Kit Siang yang juga bapa Ketua Menteri Pulau Pinang, merangkap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng itu tanpa menjawab soalan hanya meminta para wartawan untuk membuat penyelidikan terlebih dahulu sebelum bertanyakan sebarang soalan seumpama itu. – MalaysiaGazette

Ahli Parlimen Gelang Patah merangkap Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

1 Komen

Comments are closed.