Zahidi Zainul Abidin

KUALA LUMPUR – Penyandang kerusi Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata Barisan Nasional (BN) tidak perlu risau akan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) kerana yakin akan mempertahankan kawasan berkenaan.

Tambah Zahidi, Padang Besar adalah kubu kuat BN walaupun dijangka berlaku pertembungan tiga penjuru.

“Parlimen Padang Besar memang sah BN akan menang. Tapi kita jangka PRU14, Parlimen itu akan melibatkan pertembungan tiga penjuru,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette pada program Makmal Kemanusiaan Rohingya 1.0 di ibu negara hari ini.

Pada PRU-13, Zahidi memperoleh 21,473 undi berbanding calon Pas, Azahari Mohamood, yang mengutip 14,047 undi.

Beliau diangkat sebagai Ahli Parlimen Padang Besar dengan majoriti undi 7,426 undi.

Ditanya mengenai calon PRU-14 di Padang Besar, jawab Zahidi; “Saya akan pertahankan kerusi Padang Besar,” katanya.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim sebelum ini yakin BN memperoleh kemenangan selesa pada PRU-14 dengan mempertahankan ketiga-tiga kerusi Parlimennya.

Mengulas mengenai perkara itu, Zahidi berkata, BN tidak akan menghadapi kesukaran berbuat demikian berdasarkan gerak kerja yang telah dijalankan parti itu di Perlis.

“Melihat kepada prestasi yang dicerminkan BN hari ini, dari segi jumlah undi yang kita dapat, ini tidak akan menjadi masalah kepada BN untuk mempertahankan Padang Besar.

“Sampai hari ini, kita rasa Parlimen Padang Besar adalah kawasan selamat BN,” katanya. – MalaysiaGazette