Bekas Timbalan Pengarah Jabatan Air Sabah Teo Chee Kong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini terhadap 146 pertuduhan melibatkan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM32 juta. Tertuduh didakwa melakukan pengubahan wang haram melalui penerimaan wang rasuah yang melibatkan projek di Jabatan Air Negeri Sabah sejak 2010 hingga 2016. --fotoBERNAMA
KOTA KINABALU – Bekas timbalan pengarah Jabatan Air Sabah Teo Chee Kong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap 146 pertuduhan melibatkan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM32 juta.

Chee Kong, 52, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Nixon Kennedy Kumbong.

Tertuduh didakwa melakukan pengubahan wang haram melalui penerimaan wang rasuah yang melibatkan projek di Jabatan Air Negeri Sabah sejak 2010 hingga 2016.

Menurut kertas pendakwaan, 78 pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001 iaitu kesalahan memiliki 70 bidang tanah hasil aktiviti haram melalui 78 transaksi bernilai RM12,705,203.

Sejumlah 68 pertuduhan di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATPUAA) 2001 iaitu enam kesalahan memiliki wang tunai hasil aktiviti haram berjumlah RM7,930,810 dan 62 kesalahan memiliki wang dalam akaun bank hasil aktiviti haram di lapan institusi kewangan berjumlah RM12,287,240.

Pendakwaan dilakukan timbalan pendakwa raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Mohd Hafiz Hashim manakala tertuduh diwakili peguam Roland Cheng dan Hamid Ismail.

Terdahulu, semasa berhujah, Tengku Amir meminta mahkamah menetapkan nilai jaminan RM10 juta sebagai syarat pembebasan tertuduh, bagaimanapun perkara tersebut dibantah oleh pihak pembelaan.

Nixon kemudiannya memerintahkan tertuduh diikat jamin RM1.5 juta dengan dua penjamin tempatan manakala pasportnya diserahkan kepada mahkamah serta menetapkan tarikh pengurusan kes pada 16 Jan tahun depan.

Pada 4 Okt tahun lepas, Chee Kong bersama bekas pengarah jabatan itu, Awang Mohd Tahir Mohd Talib, 54, ditahan SPRM dan selepas menggeledah pejabat dan kediaman kedua-dua suspek SPRM menemukan wang tunai RM52 juta iaitu RM7 juta milik Chee Kong manakala RM45 juta milik Awang Mohd Tahir.

Turut ditemukan adalah barangan kemas, wang tunai di dalam beberapa akaun di luar negara serta geran-geran tanah yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM180 juta termasuk wang tunai.

— BERNAMA