Yang Di Pertua Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia (PERTAMA), Datuk As'ari Ibrahim

KUALA LUMPUR – Para ilmuan Islam dinasihatkan menghentikan polemik zikir Allah, Nur Muhammad dan tahlil terutama di media sosial.

Yang Dipertua Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia, Datuk As’ari Ibrahim berpendapat, ilmuan Islam diseru agar lebih bersifat tawaduk serta menghormati ulama terutama dalam hal berkaitan perbezaan pendapat.

Ia bagi mengelak berlakunya polemik dalam kalangan masyarakat umum berhubung perkara-perkara tertentu berkaitan Islam, katanya.

“Saya meminta supaya mereka (ilmuan) menghentikan polemik yang mempertikaikan perkara-perkara seperti zikir Allah, Zikir Nur Muhammad, tahlil.

“Mereka perlu lebih memberi fokus kepada mengajak manusia menjauhi maksiat, menyeru ke arah ketaatan dan cinta kepada Allah SWT serta menghormati perbezaan pendapat antara ulama,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian dipercayai ada kaitan dengan polemik antara Dr. Rozaime Ramli atau lebih dikenali sebagai RORA yang menyatakan tidak ada nas yang sahih mengenai zikir menyebut nama Allah sahaja.

Ia kemudian mendapat reaksi pelbagai ilmuwan dan ustaz lain di media sosial termasuk mengaitkannya dengan isu Wahabi dan sebagainya.

Apa pun menurut As’ari, perbezaan pendapat yang dibincangkan menerusi laman sosial seperti Facebook dan sebagainya dibimbangi akan meyebabkan kecelaruan yang boleh mengundang perpecahan antara umat Islam.

Dalam pada beliat menegaskan, para agamawan yang ingin bercakap tentang agama supaya menghormati kuasa pentadbiran agama di bawah Raja-Raja Melayu yang diturunkan kuasa kepada jabatan-jabatan agama.

Katanya, mana-mana ilmuwan yang disekat atau tidak diberi izin untuk mengajar agama di sebahagian negeri-negeri tanah Melayu sepatutnya menghormati larangan itu.

Jelasnya, mereka tidak boleh sewenang-wenangnya menyebarkan fahaman atau ajaran secara meluas di media sosial, media cetak atau eletronik kerana media-media itu tidak tertakluk kepada kuasa jabatan-jabatan agama negeri. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.