Mat Nadzari Ahmad Dahlan

KUALA LUMPUR – Pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilihat kurang disenangi oleh pihak istana Selangor.

Malah, kenyataan Sultan Sharafuddin Idris Shah yang secara jelas memuji pentabiran bekas menteri besar, Tan Sri Khalid Ibrahim memberi petanda pihak istana tidak suka cara berpolitik kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan, kata Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan.

“Khalid nampak lebih setia dan menjunjung sumpahnya semasa memegang Lembing Sang Buana.

“Azmin lebih mirip berpegang kepada prinsip-prinsip Mahabharata dan John Locke di mana semua orang adalah sama. Ini tidak sesuai dengan konsep raja berperlembagaan yang kita amalkan,” katanya yang dipetik dari sebuah laman portal pro Barisan Nasional hari ini.

Mat Nadzari berkata demikian mengulas laporan Sultan Selangor yang memuji kesetiaan Khalid dan terkejut dengan penyingkirannya tiga tahun lalu.

Sultan Sharafuddin turut menyifatkan penyingkiran Khalid sebagai episod paling mencabar dalam sejarah politik Selangor.

Khalid menyertai UMNO sekitar 1990-an sebelum melompat ke PKR sekitar 2000.

Beliau dilantik sebagai menteri besar susulan kejayaan Pakatan Rakyat menawan negeri itu pada pilihan raya umum 2008.

Khalid bagaimanapun melepaskan jawatan menteri besar pada 26 Ogos 2014 susulan krisis dalaman parti reformasi itu, selepas dipecat daripada PKR kerana melanggar arahan parti untuk memberi laluan kepada Presidennya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menerajui Selangor. – MalaysiaGazette

Comments are closed.