Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai

KUALA LUMPUR – Kadar kemalangan jalan raya di negara ini agak tinggi dengan rekod sepanjang tahun lalu mencatatkan 7,152 kes, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, kadar itu masih meningkat dan kementeriannya telah menetapkan matlamat untuk mengurangkan sekurang-kurangnya kepada 10 peratus setiap tahun.

Menurutnya, bagi menjayakan matlamat itu, kementerian akan memastikan setiap kenderaan berusia perlu melakukan pemeriksaan secara berkala.

“Bagi semua kenderaan komersial perlu melalui ujian Pusat Pemeriksaan Berkomputer (Puspakom) untuk menentukan kebolehgunaan kenderaan tersebut dan kita sekarang dalam satu proses merangka dasar Kenderaan End-of-Life (ELV).

“Dengan adanya dasar ini, kenderaan itu akan ada hayatnya. Sekarang kenderaan kita ada ‘sijil kelahiran’, tetapi kita tidak ada ‘sijil kematian’.

“Tidak ada hayat panjang kenderaan itu, tidak ada orang kata tamat hayat dia. Ini kecuali Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menggubal dasar dan undang-undang untuk adakan dasar bagi menamatkan hayat kenderaan tersebut,” katanya menjawab soalan wakil Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Senator Sopiah Sharif di Dewan Negara, di sini, semalam.

Sopiah dalam soalannya bertanyakan kaedah diguna dan dipakai Kementerian Pengangkutan dalam menentukan ataupun memantau usia kenderaan kerana ia faktor utama menyumbang kepada kemalangan jalan raya.

Selain itu, kata Naib Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang itu, terdapat juga kes bas kilang dipandu orang asing terutama di Sabah dan Sarawak kerana syarikat dikatakan tidak mahu menanggung kos gaji yang tinggi.

Menurut Tiong Lai, syarikat yang menggaji orang asing sama ada sebagai pemandu bas kilang, bas ekspres atau bas komersial menyalahi undang-undang.

“Tidak boleh dibenarkan kerana kita mesti pastikan kenderaan kita dipandu oleh rakyat Malaysia,” katanya.

Menjawab soalan lain, Tiong Lai berkata, secara purata, kematian akibat kemalangan jalan raya melibatkan bas adalah 0.6 peratus dan lori tiga peratus daripada keseluruhan angka korban di negara ini pada tahun 2008 hingga September 2017.

Jelas beliau, berdasarkan data kemalangan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik PDRM Bukit Aman dan data kematian bagi Januari hingga September 2017, mencatatkan 12 kematian akibat kemalangan jalan raya yang melibatkan pemandu dan penumpang bas serta 144 kematian melibatkan pemandu dan penumpang lori.

“Bagi kesalahan mengakibatkan kemalangan, pemandu kenderaan berkenaan boleh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ), iaitu penjara daripada dua tahun hingga 10 tahun ataupun denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak melebihi RM20,000.

“Bagi kesalahan Seksyen 42 APJ, denda tidak lebih daripada RM5,000 dan penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun, ataupun bagi kesalahan di bawah Seksyen 43, denda tidak melebihi RM10,000 dan boleh juga dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 12 bulan,” katanya.

Menurut Tiong Lai, beliau bercadang untuk mengkaji semula seksyen itu kerana kebanyakan kes kerajaan memberi kuasa kepada mahkamah untuk menentukan penalti atau denda.

“Saya memang boleh mengkaji balik dari segi penalti yang dikenakan kepada pemandu yang cuai kerana ini adalah satu kesalahan serius yang menyebabkan kematian kepada mangsa tidak berdosa,” katanya. –  MalaysiaGazette