Hamzah Zainuddin.

PUTRAJAYA – Sebanyak 16 barangan harga terkawal diumumkan sempena sambutan Krismas akan datang.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, skim itu akan berkuatkuasa selama lima hari bermula 23 hingga 27 Disember 2017.

Katanya, kesemua harga barang terkawal bersempena Krismas akan dilaksanakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Antara senarai barangan harga terkawal ialah termasuk ayam hidup, ayam standard, ayam super, ayam tua hidup, ayam belanda import, kepak ayam, daging kambing tempatan bertulang, daging kambing import bertulang atau biri-biri bertulang.

“Selain itu barang lain yang terlibat dalam kawalan ialah telur ayam gred A, B, dan C, tomato, lada benggala hijau, daging babi hidup, daging babi (perut) dan daging babi ( daging dan lemak).

Namun pada kali ini daripada 16 barang terkawal ini, hanya harga daging kambing tempatan bertulang dan daging kambing import bertulang juga naik,” katanya pada sidang media di sini.

Malah tambah beliau, penentuan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit dibuat mengikut kewajaran dan kesesuaian yang bertujuan memastikan harga yang telah ditentukan berpatutan dalam rantaian pengedaran bagi maanfaat pengguna dan peniaga.

“KPDNKK menentukan harga maksimum pengeluar, pemborong dan peruncit berdasarkan maklumat harga hasil pemantauan harga di semua daerah seluruh negara sepanjang tahun 2016 hingga Januari 2017 berdasarkan pungutan harga yang ditetapkan secara mingguan oleh kami.

“Para peniaga diwajibkan menjual barangan terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditetapkan dan meletakkan tanda harga khas yang dikuatkuasakan sejak dahulu lagi.

“Jika ingkar, peniaga akan berdepan tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 20111 dan boleh dikenalkan penalti mahkamah sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua sekali atau kompaun maksimum RM50,000,” ujarnya.

Justeru katanya, para pegawai penguatkuasa KPDNKK akan terlibat dalam operasi pemeriksaan dan pemantauan bagi melindungi pengguna daripada aktiviti pengambilan keuntungan berlebihan oleh peniaga tidak beretika sepanjang musim Krismas.

Orang ramai juga dinasihatkan KPDNKK supaya menghubungi talian 03-8000 8000 1Malaysia One Call Centre atau talian bebas tol Pusat Informasi dan gerakan Operasi Strategik di 1-800-886-800 atau e-mel ke [email protected]. serta SMS ke 15888 dengan menaip KPDNKK ADUAN<butiran aduan>. – MalaysiaGazette