Para pegawai polis tiba di perkarangan Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya bagi mengambil keterangan Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai isu Bugis. foto IQBAL BASRI, 13 DISEMBER 2017.

PUTRAJAYA – Peguam kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Haniff Khatri Abdulla berkata terdapat salah faham mengenai siasatan terhadap anak guamnya hari ini.

Berdasarkan maklumat awal daripada pihak polis, sesi memberikan keterangan hari ini adalah berkisar mengenai kerugian RM31.5 bilion yang ditanggung Bank Negara Malaysia (BNM) dalam urus niaga mata wang (forex), bagiamanapun pihaknya terkejut apabila mendapati sesi ini adalah berhubung siasatan terhadap kenyataan ‘lanun Bugis’.

“Kami diberitahu di peringkat awal bahawa Tun akan disiasat berhubung laporan polis yang dibuat Setiausaha RCI, yang dibuat pada 30 November.

“Tetapi apabila kami sampai hari ini, baru kami dimaklumkan pasukan polis bahawa keterangan hari ini adalah berhubung isu Bugis,” katanya kepada media.

Media sebelum ini melaporan bahawa Dr Mahathir akan disiasat berhubung kerugian  BNM yang berjumlah RM31.5 bilion pada zaman pentadbiran Mahathir.

Bagaimanapun, jelas Haniff sebaik beliau tiba di perkarangan Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), empat pegawai yang hadir memberitahu bahawa siasatan hari ini adalah berkaitan rapat dengan kenyataan “lanun Bugis” yang dibuat Dr Mahathir pada 14 Oktober lalu.

Jelas Haniff, ia berdasarkan kepada kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bahawa kes berkenaan masih dalam siasatan dan Dr Mahathir akan dipanggil kelak berhubung siasatan kes menghina masyarakat Bugis sebagai lanun.

“Semalam Ketua Polis Negara kata bahawa isu Bugis masih dalam siasatan dan Tun akan dipanggil kemudian. Tiba-tiba hari ini mereka datang untuk isu kenyataan Bugis dan bukannya RCI.

“Berhubung isu RCI, kami tidak tahu mereka nak datang bila, hari ini atau malam ini,” jelas Haniff.

Polis turut memanggil Ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim hari ini untuk berhubung isu mempersoal titah Sultan Selangor berkaitan isu sama.

Ini kerana polis memerlukan sedikit masa untuk melengkapkan siasatan kes berkenaan. – MalaysiaGazette.

http://malaysiagazette.com/blog/2017/12/13/forex-polis-ambil-keterangan-tun-m/