Home Ekonomi Rakyat Malaysia bimbang tidak cukup wang persaraan

Rakyat Malaysia bimbang tidak cukup wang persaraan

KUALA LUMPUR – Hampir separuh atau 49 peratus daripada rakyat Malaysia tidak yakin memiliki wang yang mencukupi sehingga usia 80 tahun.

Tinjauan Indeks Hubungan Prudential 2017 (PRI) mendapati simpanan untuk persaraan menjadi keutamaan kewangan bagi majoriti rakyat Malaysia.

Lebih daripada separuh atau 59 peratus bimbang sama ada mereka memiliki dana yang cukup untuk persaraan.

Kajian edisi kedua ini menjalankan kajian bagi memahami keadaan hubungan peribadi di Asia.

Malaysia yang terlibat dalam kajian itu telah menemubual 561 responden melalui persampelan dalam talian, melibatkan mereka yang berumur antara 25 hingga 55 tahun dan menetap di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya dengan pendapatan isi rumah sekurang-kurangnya RM4,000.

Kajian itu turut menunjukkan kebanyakan rakyat Malaysia menjangkakan akan bergantung kepada diri sendiri dengan 87 peratus merancang untuk meneruskan kehidupan semasa persaraan dengan kewangan dan aset sendiri.

Sementara 43 peratus lagi akan terus bekerja.

Kajian itu turut mendapati 83 peratus rakyat Malaysia kini menyumbang kewangan kepada perbelanjaan harian kepada ibu bapa mereka.

Meskipun begitu, hanya 31 peratus sahaja yang mengharap sokongan anak-anak mereka pada hari tua nanti.

Responden Malaysia bersetuju perancangan kewangan adalah jalan terbaik dalam merancang persaraan.

Sebanyak 57 peratus pasangan bersetuju bekerjasama dengan agen kewangan untuk merancang kewangan mereka.

Di samping itu, orang yang bersama-sama dengan pasangan mereka untuk membuat rancangan kewangan menjangkakan hubungan keluarga lebih baik dalam masa lima tahun (76%) berbanding mereka yang tidak merancang bersama (42%).

Malah, mereka turut lebih positif mengenai kewangan peribadi mereka bertambah pada tahun 2020 (74%) berbanding dengan mereka yang membuat rancangan secara berasingan (55%).

Selain itu, kebanyakan ibu bapa di Malaysia (96%) tertekan dengan masa depan anak-anak mereka dan 50 peratus pula menjadikan sokongan kewangan sebagai keutamaan dalam pendidikan anak-anak. – MalaysiaGazette