Khairy Jamaluddin
PUTRAJAYA – Mana-mana penganjur sukan yang gagal mengikut peraturan Suruhanjaya Pembangunan Sukan Malaysia boleh denda maksimum sehingga RM500,000.
Ini perkara utama bakal diutamakan dalam pindaan Akta Pembangunan Sukan 1997 yang dijangkakan pada tahun 2018, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
Katanya, KBS telah memulakan proses perbincangan dengan semua pihak berkepentingan semenjak tahun 2015 lagi untuk membawa pindaan pada akta tersebut sambil mengesahkan pindaan itu bukan sekadar isu berkaitan penganjur sukan semata-mata.
“Oleh kerana kali pertama kita hendak membawa pindaan pada akta ini, banyak perkara sebenarnya memerlukan pindaan yang sedang diteliti secara terperinci dan sudah pasti ia akan memakan sedikit masa kerana perlu berbincang dengan semua pihak berkepentingan dalam sukan.
“Jadi, status untuk meminda akta itu kini berada di peringkat terakhir dan pegawai undang-undang kementerian sedang menguruskannya, kita akan hantar draf pindaan itu kepada pertimbangan Jabatan Peguam Negara.
“Kalau persidangan Parlimen pada Mac ini diadakan, jika sempat sebelum PRU-14, kita akan cuba membawa ke Dewan Rakyat untuk kelulusan pindaan itu tetapi sebelum itu ia memerlukan kelulusan Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali,” katanya dalam sidang media hari ini.
Khairy terdahulu mengadakan pertukaran Memorandum Persefahaman antara KBS dan tujuh syarikat industri gergasi negara, Universiti Malaysia Pahang dan Universiti Malaysia Kelantan selain merasmikan Kick-Off Kafe Autism di KBS di sini.
Dalam pada itu, tambah beliau, tidak boleh memastikan tempoh masa yang akan diambil Peguam Negara untuk meluluskan draf pindaan akta tersebut untuk dibentang di Parlimen nanti.
Sementara itu, katanya beliau akan duduk bersama Pesuruhjaya Pembangunan Sukan, Datuk Zaiton Othman untuk meneliti langkah yang boleh diambil dalam akta sedia ada supaya lebih jelas dan relevan dalam melakukan pindaan.
Ujar beliau, pihaknya perlu tampil dengan keputusan terbaik sebelum meneruskan pindaan akta dan Pejabat Suruhanjaya Sukan hanya berperanan sebagai penyelaras sahaja bukan penguat kuasa.
“Jadi, adalah tanggungjawab terletak diatas awam untuk membuat laporan mengenai mana-mana aktiviti sukan yang tiada kelulusan.
“Polis dan Pihak Berkuasa Tempatan mesti memeriksa dengan pejabat suruhanjaya sukan dan memastikan sama ada sesuatu penganjuran itu mendapat kelulusan lesen sebelum memberi kebenaran sesuatu perlumbaan atau marathon dianjurkan.
“Sudah pasti pejabat Suruhanjaya Sukan tak mempunyai pakar yang boleh menasihati penganjur kejohanan seperti marathon, dan sebab itulah kita bekerjasama dengan persatuan sukan kebangsaan yang mempunyai pakar teknikal sesebuah acara besar dan ini antara perkara yang hendak diperketatkan dalam pindaan akta nanti,” tegasnya – MalaysiaGazette