Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Wartawan Malaysia Gazette, Radzuan Hassan pada Malam Apresiasi Media di aras 7, Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Putrajaya. foto ADIB RAMLI, 14 DISEMBER 2017.

PUTRAJAYA – Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH) yang menjelajah ke seluruh negara kini menerima keahlian kira-kira 140,000 orang dalam masa empat bulan sahaja sejak dilancarkan Ogos lalu.

Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Zulkifli Ahmad berkata, sambutan luar dugaan itu antara lainnya adalah kerana liputan daripada pihak media.

“Bukan senang untuk menambah keyakinan rakyat dan kami ternyata menghadapi pelbagai rintangan dalam hal ini,” katanya semasa berucap di Majlis Apresiasi Makan Malam Media SPRM 2017 di sini malam ini.

Menurut Zulkifli, tanpa sokongan dan kerjasama media pihaknya tidak mampu untuk menyampaikan mesej kepada rakyat sepenuhnya.

“Apatah segala sokongan media berjaya meningkatkan keyakinan rakyat yang mengkagumi kesungguhan SPRM berbanding tahun lepas yang mana sokongannya agak rendah serendah 30 peratus sahaja,” katanya.

Zulkifli seterusnya menghargai sokongan dan sumbangan media yang sentiasa melaporkan kejayaan operasi pencegahan SPRM.

Kira-kira 400 pengamal media hadir majlis yang julung kali diadakan di Ibupejabat SPRM yang baharu di sini.- MalaysiaGazette