Home Politik Gerakan persoal kerja tanah di Peel Avenue

Gerakan persoal kerja tanah di Peel Avenue

Jason Loo (tengah) bersama-sama ahli Gerakan negeri ketika mengadakan sidang akhbar di tapak pembinaan hospital swasta di Lebuh Raya Peel, dekat Georgetown hari ini.

PULAU PINANG – Tindakan Kerajaan DAP Pulau Pinang merobohkan sebuah rumah warisan di Lebuh Raya Peel di sini mencetuskan tanda-tanya selepas tapak tanah rumah itu didakwa belum diluluskan bagi projek pembinaan hospital swasta.

Sehubungan itu, Pemangku Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang, Jason Loo mendesak kerajaan DAP Pulau Pinang menjelaskan tindakan tersebut memandangkan rumah berkenaan sepatutnya dipulihara kerana berusia lebih 100 tahun dan merupakan antara elemen warisan negeri ini.

Dalam masa sama, beliau melahirkan kebimbangan berhubung dua buah lagi rumah warisan di tapak sama yang bakal menerima nasib dirobohkan semata-mata bagi membina hospital swasta.

“Setakat pengetahuan kami, Kementerian Kesihatan belum memberi kebenaran bagi pembinaan hospital swasta bernilai RM2 bilion seperti dirancang di tapak seluas tiga hektar di Peel Avenue ini.

“Jadi mengapa kerajaan negeri mendahului keputusan Kerajaan Pusat dan merobohkan rumah warisan di tapak tersebut?” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tanah di Lebuh Raya Peel yang juga dikenali Peel Avenue itu mencetuskan kontroversi sebelum ini selepas Kerajaan DAP Pulau Pinang mengakui menjualnya tanpa tender terbuka kepada pemaju swasta bagi pembinaan perkampungan hospital.

Projek yang diberi nama Medical City itu dirancang dibangunkan dengan hospital 12 tingkat, 400 bilik hotel dan 380 unit Medical Suite Island Hospital.

Menurut Jason, pihaknya kesal kerana Kerajaan DAP Pulau Pinang dilihat mengambil langkah terburu-buru dengan merobohkan rumah tersebut tanpa menjalankan kajian impak warisan di kawasan berkenaan terlebih dahulu.

Dalam masa sama, beliau turut menggesa Kerajaan DAP Pulau Pinang menjelaskan mengenai kontroversi penukaran status tanah di kawasan itu daripada tanah rakyat kepada tanah komersial. – MalaysiaGazette