Home Ekonomi Harga minyak dunia susut

Harga minyak dunia susut

Gambar hiasan

NEW YORK – Harga minyak susut dalam dagangan hari ini selepas kemerosotan dalam stok minyak mentah Amerika Syarikat diimbangi oleh kenaikan ramalan lebih besar daripada inventori petrol.

Malah, pengeluaran minyak mentah Amerika Syarkat terus berkembang ke rekod lebih tinggi.

Inventori minyak mentah Amerika Syarikat jatuh sebanyak 5.1 juta tong pada minggu lalu, lebih daripada dijangkakan dan pengeluaran mencecah rekod tinggi sebanyak 9.78 juta tong sehari, menurut data kerajaan.

Kemuncak pengeluaran Amerika Syarikat adalah 10.04 juta tong sehari pada September 1970.

Minyak mentah Amerika Syarikat, West Texas Intermediate susut sebanyak AS$0.54 kepada AS$56.60 setong, penurunan 1.0 peratus.

Sementara itu, Brent pula menyusut 1.4 peratus kepada AS$62.44 setong.

Penanda aras antarabangsa kerugian 2.1 peratus pada hari Selasa apabila gelombang pengambilan untung berikutan penutupan paip Laut Utara Forties awal minggu ini melonjakkan penanda aras global melepasi AS$65 setong buat kali pertama sejak pertengahan 2015.

Walaupun penutupan Forties telah mencetuskan lonjakan harga Brent, keuntungan awal cepat meruap dalam pasaran global yang masih lagi dilimpahi dengan lebihan pengeluaran dari Amerika Syarikat.

Pentadbiran Maklumat Tenaga Amerika Syarikat pada Selasa meramalkan pengeluaran minyak mentah dalam negeri akan naik 780,000 tong sehari kepada rekod tertinggi sebanyak 10.02 juta tong sehari pada 2018. – MalaysiaGazette