Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Dr. Arif Bahardin (tengah) bersama lima bekas pimpinan Wira Perkasa termasuk mantan ketuanya, Irwan Fahmi dalam sidang media menyertai PKR hari ini.-pix Minaq Jinggo.

KUALA LUMPUR – Seramai lima orang bekas ahli dan pemimpin Perkasa termasuk Irwan Fahmi Ideris menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Dr. Arif Bahardin berkata, pihaknya mengalu-alukan kehadiran kelima-lima mereka ke dalam PKR.

“Kami yakin penyertaan ini adalah kerana mereka percaya bahawa agenda reformasi yang dipelopori dan diterajui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PKR adalah satu wadah perjuangan murni untuk membela nasib rakyat tanpa mengira kaum dan membawa perubahan sistemik kepada pentadbiran negara.

“Kehadiran bekas pemimpin dan anggota Perkasa juga dipercayai  dapat menambahkan lagi kekuatan parti dan dalam masa yang sama turut meluaskan pengaruh parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain Irwan Fahmi yang merupakan bekas Ketua Wira Perkasa, empat lagi ialah, bekas Naib Ketua Wira Perkasa, Syamzari Putera Mohd. Noh,  Penolong Setiausaha Wira Perkasa, Muhammad Zahiruddin Zulkamar dan dua bekas Exco Wira Perkasa, Muhammad Hafiz Zulkifly dan Zulkarnain Haron.

Sementara itu, Irwan Fahmi dilaporkan memberitahu, cubaan untuk menegur kepimpinan kerajaan semasa dalam Perkasa tidak berkesan membuatkannya dan rakan-rakan memilih PKR.

Beliau juga tidak kisah membantu perjuangan PKR walaupun tidak mempunyai jawatan dalam parti itu kerana yang penting niat mereka mengalahkan kerajaan sekarang menerusi PRU-14.- MalaysiaGazette