Home Nasional KKM sedia pertimbang hospital universiti swasta kendali doktor pelatih

KKM sedia pertimbang hospital universiti swasta kendali doktor pelatih

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam (kanan) mendengar penerangan dari Naib Canselor, International Medical University (IMU) (kiri) ketika melihat replika bangunan baharu IMU Hospital pada Majlis Pecah Tanah Tapak Binaan Sospital Baru IMU Healthcare di International Medical Universiti (IMU), Kampus Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto ADIB RAMLI, 14 DISEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan sedia pertimbang untuk membenarkan hospital universiti swasta mengendalikan latihan doktor pelatih pada masa akan datang.

Namun, universiti swasta terlebih dahulu perlu mematuhi syarat dan garis panduan ketat yang ditetapkan oleh kerajaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, pendekatan ini secara tidak langsung akan membantu mengurangkan kesesakan pelajar atau doktor pelatih yang membanjiri hospital kerajaan setiap tahun.

“Ketika ini kebanyakan universiti swasta menggunakan hospital KKM untuk latihan doktor pelatih dan ini menjadi cabaran kepada kita, yang mana ada hospital yang dikongsi tiga universiti swasta ketika ini.

“Kalau hospital universiti swasta dapat menggunakan semua keperluan, bidang kepakaran mantap, jumlah pesakit dan jumlah katil yang mencukupi bagi memastikan pelatih mendapat latihan optimum, kita sedia melihat kemungkinannya (membenarkan akses doktor pelatih),” katanya pada sidang media di Bukit Jalil selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Hospital IMU yang dijangkakan siap sepenuhnya menjelang 2021.

Hospital baharu dengan nilai pelaburan berjumlah RM150 juta hingga RM200 juta akan menambah bilangan katil pesakit sebanyak 300 unit.

Subramaniam mengakui wujud situasi di mana ada juga dalam kalangan doktor pelatih tidak berpeluang melawat, memeriksa pesakit atau mempelajari tentang pesakit secara sepenuhnya sepanjang tempoh latihan itu.

Lantaran itu, katanya, kekangan tersebut boleh ditangani secara berkesan sekiranya lebih banyak ruang disediakan menerusi kerjasama antara univerisiti swasta berasaskan perubatan dan juga kementerian kesihatan. – MalaysiaGazette.