Home Nasional The Malaysian Insight terima dana luar negara – JMM

The Malaysian Insight terima dana luar negara – JMM

Azwanddin Hamzah. foto ADIB RAMLI, 14 DISEMBER 2017.
Azwanddin Hamzah. foto ADIB RAMLI, 14 DISEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Jaringan Melayu Malaysia (JMM) tampil membuat pendedahan terbaharu mengenai portal The Malaysian Insight yang didakwa mempunyai hubungan dengan sebuah syarikat yang berpengkalan di luar negara.

Presidennya, Datuk Azwan­ddin Hamzah berkata, portal tersebut telah didaftarkan dengan nama Syarikat Inside Media Sdn. Bhd. (Inside Media) dan mempunyai kaitan dengan syarikat di Hong Kong iaitu Asian Inside pte. Ltd. yang mana Ketua Pegawai Eksekutif bagi syarikat itu adalah individu yang sama.

Beliau berkata, JMM mendapat maklumat terkini itu melalui emel yang diperolehi daripada portal My Aduan Rasuah.

“JMM berharap Bank Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Pendaftar Syarikat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Jabatan Imigresen Malaysia segera mengambil langkah proaktif terhadap The Malaysian Insight.

“Ini kerana Inside Media telah menggunakan portal itu sebagai alat untuk menghentam kerajaan serta memaparkan agenda anti-kerajaan.

“JMM sekali lagi mahu semua agensi yang disebut ini supaya membuka kertas siasatan berhubung dari mana sumber dana yang diperolehi untuk membiayai The Malaysian Insight,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Kontroversi mengenai The Malaysian Insight mula tercetus pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 baru-baru ini apabila beberapa perwakilan mendesak agar pihak berkuasa ti­dak membiarkan mana-ma­na por­tal berita propembangkang sewenang-wenangnya menghina pemimpin dan menyebarkan fitnah yang memburukkan kepemimpinan negara sehingga memberi mesej salah kepada rakyat.

Carian seorang perwakilan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berhubung The Malaysian Insight mendapati portal itu didaftar­kan di bawah Insight Media Sdn. Bhd. dan tertera nama Faridah Begum sebagai Pengarah dan pemilik saham iaitu isteri kepada Peguam Negara.

Sementara itu, Azwandi berkata, siasatan perlu dilakukan atas asas faktor menerima dana asing dan kemungkinan besar elemen rasuah.

Beliau berkata, Jabatan Imigresen juga perlu menahan pasport 15 kakitangan portal itu yang akan berlepas keluar negara pada 20 Disember ini dan difahamkan mereka akan mengadakan satu mesyuarat sulit di London.

“Jadi pihak The Malaysian Insight perlu juga tampil membuat penjelasan apa hubungan mereka dengan syarikat di Hong Kong itu, selain terdapat terdapat transaksi kewangan pembelian gambar biasa bernilai RM200,000.

“Malah elemen wujudnya rasuah bernilai jutaan ringgit tidak boleh dinafikan dan esok JMM akan membuat laporan di SPRM pukul 11 pagi.

“Pada masa sama, JMM juga mendesak agar Inside Media menjelaskan peranan Faridah dalam syarikat itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette