Home Ekonomi AS naikkan kadar faedah

AS naikkan kadar faedah

WASHINGTON – Rizab Persekutuan Amerika Syarikat telah menaikkan kadar faedah sebanyak 0.25 peratus.

Ia adalah kenaikan kadar faedah kali ketiga pada tahun ini.

Bank Pusat Amerika Syarikat berkata, kenaikan kadar yang memang sudah dijangkakan itu menunjukkan pengukuhan ekonomi negara tersebut.

Jawatankuasa Monetari Rizab Persekutuan yang yakin dengan prestasi ekonomi negara itu mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar sebanyak 2.5 peratus pada tahun 2017 dan 2018 dipacu oleh pemotongan cukai yang dirancang.

Ia juga memberi bayangan kenaikan kadar faedah sebanyak tiga kali pada tahun depan – tidak berubah daripada ramalan sebelumnya.

Keputusan kenaikan kadar faedah itu akan meningkatkan kos pinjaman, sekali gus memberi rangsangan baharu kepada ekonomi selepas kadar faedahnya ‘dibekukan’ dalam tempoh yang panjang semasa krisis kewangan.

Rizab Persekutuan mensasarkan penanda aras kadar faedah antara 1.25 peratus hingga 1.50 peratus tetapi majoriti jawatankuasa menjangkakan kenaikan melepasi 2.0 peratus.

Perubahan polisi itu berikutan ekonomi Amerika Syarikat semakin mengukuh.

Keluaran ekonomi Amerika Syarikat meningkat pada kadar tahunan lebih daripada 3.0 peratus pada suku yang baru-baru ini, sementara kadar pengangguran turun kepada 4.1 peratis pada bulan lalu – kadar terendah sejak tahun 2001.

Pengerusi Rizab Persekutuan, Janet Yellen, yang bakal melepaskan jawatannya pada bulan Februari depan berkata, ekonomi, pasaran buruh dan sistem kewangan telah bertambah kuat di bawah pentadbirannya. – MalaysiaGazette