Home Nasional Pemandu, kelindan direman bantu siasatan kemalangan maut

Pemandu, kelindan direman bantu siasatan kemalangan maut

Pemandu dan kelindan lori yang direman bagi membantu siasatan kemalangan jalan raya yang mengorbankan tiga nyawa di Jalan Bota Kanan-Teluk Intan berhampiran Kampung Teluk Memali, Parit semalam. foto Bernama

BATU GAJAH – Seorang pemandu dan kelindan lori direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kemalangan yang mengorbankan tiga nyawa termasuk pegawai khas kepada exco kerajaan negeri Perak, di Jalan Bota Kanan-Teluk Intan berhampiran Kampung Teluk Memali, Parit semalam.

Perintah reman sehingga 17 Dis itu dikeluarkan Majistret Batu Gajah Mohd Fitri Sadarudin di sini, hari ini.

Pemandu lori berusia 25 dan kelindan 27 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara berbahaya dan mendatangkan bahaya kepada orang awam.

Terdahulu, kedua-dua suspek yang berpakaian lokap berwarna ungu itu tiba di mahkamah pada 9.10 pagi dengan diiringi dua anggota polis.

Semalam, Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Mohamad Zainal Abdullah mengesahkan hasil ujianĀ air kencing kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi semalam, Ahmad Nor Al-Zaidin Ahmad Azzudin, 35, isterinya Norhaslina Abdul Razak, 27, dan adiknya Nor Azira, 24, maut di tempat kejadian.

Ahmad Nor Al-Zaidin adalah pegawai khas Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Perak Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

Kemalangan berlaku apabila kereta jenis Proton Saga dipandu Ahmad Nor Al-Zaidin dari arah Kampung Gajah ke Teluk Intan bertembung dengan lori terbabit sebelum terseret sejauh 10 meter dan terhumban ke dalam tali air. – MalaysiaGazette