Home Utama Tak perlu tunggu arahan KKM rampas susu tiruan

Tak perlu tunggu arahan KKM rampas susu tiruan

Presiden MIC Datuk Seri Dr. S. Subramaniam
KUALA LUMPUR – Kementerian Pengguna Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan boleh melakukan rampasan produk susu Enfalac A+ step 1 (1.8kg) tiruan tanpa menunggu isyarat atau arahan daripada Kementerian Kesihatan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, buat masa sekarang siasatan dan kajian terperinci ke atas produk tiruan itu sedang dibuat dan mengambil masa dua minggu sebelum laporan penuh disediakan untuk tindakan lanjut.
Katanya, pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan dan KPDNKK untuk menjalankan kajian terperinci sama ada ia tercemar dan terbukti tiruan.
“KPDNKK perlu mengambil tindakan rampasan susu formula bayi itu yang berada di pasaran ketika ini. Tak perlu tunggu laporan kajian itu.
“Laporan itu kelak akan menentukan apakah bahan kimia  yang ada termasuk sama ada ia menjejaskan kesihatan bayi atau tidak,” katanya di sini hari ini.
Jelasnya, hampir setiap hari terdapat kes kanak-kanak yang mengalami cirit-birit di seluruh negara dan mendapatkan rawatan.
Tetapi dalam hal susu tiruan katanya, untuk mengaitkan perkara itu dengan susu tiruan hanya boleh dibuat selepas siasatan lanjut dan perlu rasional tanpa membuat kesimpulan terburu-buru.
Subramaniam juga mahu KPDNKK  dan agensi penguatkuasa yang berkaitan membuat siasatan lanjut dalam isu ini untuk mengesan bagaimana produk susu formula rumusan bayi tiruan itu menembusi pasaran tempatan selama ini.
“Ini satu perkara yang kita perlu melihat dan mengkaji secara serius. Siapa dalang yang berada di sebalik tabir.
“KPDNKK perlu mengambil tindakan ke atas pihak yang bertanggungjawab terhadap penjualan produk susu tiruan. – MalaysiaGazette