Ahmad Zahid Hamidi
PUTRAJAYA – Pengambilan pembantu rumah dari Indonesia dan Filipina secara langsung, tanpa agen atau orang tengah, akan membolehkan majikan menjimatkan lebih 90 peratus kos proses.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, proses itu boleh dilakukan setiap ketua rumah menerusi permohonan dalam talian yang akan dilaksanakan mulai 1 Januari tahun depan oleh Jabatan Imigresen.
Zahid berkata, pihaknya juga telah memperincikan kaedah pengambilan termasuk mematuhi peraturan beberapa buah negara seperti Indonesia dan Filipina.
“Kita tidak mengizinkan pengambilan terus pembantu rumah dari negara terbabit kerana hasil perbincangan pihak berkuasa kedua-dua negara tidak bersetuju dengannya.
“Mereka tak bersetuju dengan cadangan kita, ketua rumah dari sini terus mendapatkan pembantu rumah mereka dengan melawat ke kampung halaman, kecuali hanya menerusi syarikat-syarkat yang berdaftar dengan Kementerian Buruh dan Kementerian Sumber Tenaga Kerjaan di Indonesia dan Filipina.
“Jadi kita perlu menghormati peraturan dan undang-undang kedua-dua negara, maka mana-mana ketua rumah di negara ini perlu melalui proses pengambilan pembantu rumah menerusi syarikat berdafar yang bertanggungjawab di kedua-dua negara itu sahaja,” katanya.
Beliaua menyatakan demikian mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (JKKPA-PATI) di Bangunan Perdana Putra, Jabatan Perdana Menteri di sini.
Menurut Zahid, menerusi permohonan dalam talian, majikan boleh mendapatkan nama pembantu rumah mereka, seterusnya memasukkan nama itu dalam permohonan dengan bayaran yang dikenakan sebanyak RM,1635, tidak termasuk kos penerbangan.
“Ia sangat murah dan menjimatkan berbanding dahulu yang mana bakal majikan lazimnya bayar sehingga RM18,000 untuk seorang pembantu rumah menerusi agen atau orang tengah di negara ini, kini isu itu tidak akan wujud lagi.
“Manakala wang cagaran pula dikurangkan daripada RM1,000 kepada RM500 dan saringan kesihatan pula untuk lelaki kita kenakan sekitar RM190 untuk lelaki dan RM180 untuk wanita yang perlu dijelaslan tuan majikan yang menggaji mereka.
“Dengan mekanisme baharu ini, kerajaan menjimatkan perbelanjaan sehingga lebih 90 peratus dalam pengambilan pembantu rumah selain menggalakkan golongan isi rumah B40 menyertai pasaran pekerjaan negara meningkatkan pendapatan isi rumah,” katanya.
Sementara itu, Zahid berkata, sebanyak 15,005 operasi penguatkuasaan Imigresen Opes Mega terhadap PATI dari 1 Januari hingga 5 Disember lalu dan melalui program PATI Serah Diri dan Pulang Secara Sukarela, seramai 202,115 orang telah mengambik peluang untuk pulang ke negara asal secara sukarela.
Justeru katanya, bilangan pekerja asing sah berkurangan kepada 1.785 juta orang setakat 30 November 2017 berbanding seramai 2.135 juta pada tahun 2015. – MalaysiaGazette