Home Politik Bukan pelik ahli, pemimpin Perkasa sertai parti politik

Bukan pelik ahli, pemimpin Perkasa sertai parti politik

Burhanuddin Ruslan
Burhanuddin Ruslan

KUALA LUMPUR – Wira Perkasa Malaysia sedia maklum beberapa ahlinya yang masih dalam barisan pimpinan sayap Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) itu bersama dengan parti politik termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menurut Ketuanya, Burhanuddin Ruslan, perkara itu tidak pelik kerana sebelum ini juga ada yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia, malah di sesetengah pimpinan Wira Perkasa negeri dan Parlimen juga ada ahli Pas.

“Saya sebagai Ketua Wira Perkasa Malaysia tidak boleh halang mana-mana Exco Wira Perkasa Pusat, Negeri mahupun Parlimen untuk bertukar-tukar parti politik. Saya tidak boleh halang.

“Itu hak mereka nak tentukan parti mana mereka nak bersama. Selagi mereka selari dengan perjuangan Perkasa, mereka boleh terus kekal dalam barisan pimpinan Wira di semua peringkat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan bekas Ketua Wira Perkasa Malaysia, Irwan Fahmi Ideris bersama empat lagi bekas kepimpinan sayap NGO itu menyertai PKR semalam.

Borang keahlian mereka, termasuk bekas Naib Ketua Wira Perkasa, Syamzari Putera Mohd. Noh; Penolong Setiausaha Wira Perkasa, Muhammad Zahiruddin Zulkamar dan dua bekas Exco Wira Perkasa, Muhammad Hafiz Zulkifly dan Zulkarnain Haron diterima oleh Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr. Arif Bahardin di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

Menurut Burhanuddin, lebih 50 peratus ahli Perkasa dalam kalangan lelaki berumur bawah 40 tahun adalah ahli Wira.

Katanya, majoriti daripada mereka masih tidak berparti, manakala selebihnya ada yang menyertai UMNO, Pas, PPBM dan PKR.

“Ada juga ahli yang bertukar-tukar parti. Itu atas kehendak merekalah,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, mungkin sesetengah pimpinan parti politik mengambil pendekatan mendekati  pemimpin Wira Perkasa dan ahlinya kerana menganggap penting bagi parti mereka.

“Malah, ada juga parti politik yang pandang enteng terhadap Wira Perkasa,” katanya.

Bagaimanapun, kata Burhanuddin, beliau di peringkat pimpinan Wira Perkasa Pusat akan berusaha semampu mungkin untuk kekal berkecuali dalam menentukan hala tuju perjuangan Islam Melayu dan Bumiputera.

“Jadi siapa sahaja tanpa mengira parti boleh bersama pimpinan Wira Perkasa di semua peringkat.

“Hanya jangan gunakan Wira Perkasa untuk kepentingan parti masing-masing. Kita boleh buktikan walau berlainan parti, tapi boleh duduk semeja demi Islam, Melayu dan Bumiputera,” kata beliau. – MalaysiaGazette