KUALA LUMPUR – EcoWorld International Bhd (EWI) bekerjasama dengan Be Living Holdings Ltd. dari United Kingdom untuk membangunkan 12 kawasan di Greater London dan selatan England dengan anggaran nilai pembangunan kasar sekurang-kurangnya £2.6bilion (RM14 bilion).

Di bawah urusniaga tersebut, EWI dan rakan kongsinya turut berhasrat untuk mengambil alih syarikat pengurusan pembangunan (DMco) yang mempunyai pasukan pelbagai kepakaran penuh.

“DMco ini akan menjadi pengurus pembangunan semua projek di bawah usahasama dengan Be Living.

“Ini akan membolehkan EWI selaku 70 peratus pemegang saham DMco dengan kepakaran yang sedia ada untuk membangunkan perniagaan di United Kingdom serta membawanya ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut EWI, pengambilan alih 70 peratus daripada kepentinganya di kawasan Peringkat 1 dan DMco bernilai £64.9 juta (RM365 juta) dan akan dibiayai sepenuhnya menggunakan dana yang diperolehi daripada tawaran awam permulaannya baru-baru ini.

EWI mensasarkan pengambilan alih kawasan Peringkat 1 siap menjelang suku pertama 2018. – MalaysiaGazette