Pengasas Flavours Cafe by SBU, Noor Inora Putri Norzainy bercakap kepada media mengenai perniagaan yang diceburinya di Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 15 DISEMBER 2017.

SHAH ALAM – Pernah melebarkan sayap perniagaan yang hanya bermula dengan tudung sahaja, Sincerelybyus (SBU) yang kemudiannya mengeluarkan rekaan koleksi baju hari raya membuat Pengasasnya, Noor Inora Putri Norzainy belajar dari kesilapan dalam bidang ini setelah hilang fokus selama beberapa tahun.

Beliau yang telah membuka butik selama enam tahun turut memberi peluang kepada vendor-vendor baju dan kasut berniaga di butiknya, Noor Inora nekad untuk ‘back to basic’ kepada hanya menjual tudung sahaja namun memberi sedikit keunikan yang dianggapnya tambah nilai dengan membuka kafe di butiknya.

Menurut Noor Inora, kesilapannya sebelum ini dalam meluaskan perniagaan mengakibatkan fokusnya kepada produk asal iaitu tudung semakin berkurang, akhirnya memberi kesan kepada sokongan daripada pelanggan.

Ditambah dengan cabaran jualan baju, pereka yang kini tumbuh seperti cendawan selepas hujan membuatkan Noor Inora mengubah corak perniagaannya.

“Dalam enam tahun berniaga tu mungkin ada syok sendiri sekejap, kita tidak mahu dengar pelanggan cakap jadi sekarang ni kita ambil kira apa yang pelanggan mahu.

“Sekarang kita belajar daripada kesilapan kita dengar cakap pelanggan biar pelanggan cari kita memang hanya untuk tudung,” katanya ketika ditemui ketika sesi memperkenalkan menu cafenya, Flavour cafe by SBU, hari ini.

Tambah Noor Inora yang memulakan perniagaan tudungnya seawal usia 21 tahun, membuat kajian bahawa pelanggan SBU hanya tertumpu kepada penggemar produk tudung keluarannya akhirnya bertindak pantas untuk terus kekal dalam bidang yang diceburinya itu.

“Sebab sebelum ni kalau keluarkan baju tertanya kenapa tidak seperti tudung jualannya, sebab mungkin bila kita tidak keluarkan tudung pelanggan akan tercari-cari dan akhirnya kurang minat untuk lawati laman instagram, pergi kedai.

“Sebagai peniaga kita perlu buat tindakan pantas sebab itu saya buat keputusan keluar dengan konsep ini,” tambahnya.

SBU yang memulakan perniagaan dengan produk tudung meluaskan sayap dengan memasarkan baju selain rekaannya menambah cawangan di Bangi dan Johor Bharu. – MalaysiaGazette