Presiden Parti Ekonomi Rakyat (PEKIRA), Mohd Ridzuan Abdullah bercakap pada sidang media tentang pengedaran risalah memboikot produk McDonald di Hotel Sani, Jalan Putra, Kuala Lumpur. foto ADIB RAMLI, 16 DISEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia perlu memboikot semua produk keluaran Israel sebagai langkah membantah tindakan Amerika Syarikat yang menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Presiden Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (Pekira), Datuk Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, pihaknya telah mengenal pasti produk-produk keluaran Israel dan akan mencetak 100,000 risalah untuk diedarkan di seluruh negara bagi tujuan boikot itu.

“Sebelum ini kita pernah melakukan tindakan boikot produk-produk Israel semasa negara rejim itu menindas rakyat Palestin dan kesannya, ada beberapa syarikat yang mempunyai hubungan rapat dengan mereka hampir gulung tikar.

“Jadi apabila Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel, kita mahu kempen boikot ini dilakukan sekali lagi bagi memberi peringatan kepada mereka supaya membebaskan kota suci umat Islam itu daripada dimanipulasi oleh rejim Zionis,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di sebuah hotel di sini, hari ini.

Turut hadir adalah Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) Amir Amsaa Alla Pitchay dan beberapa ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam lain.

Minggu lalu, Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan turut bercadang memindahkan Kedutaan AS dari Tel Aviv ke sana.

Tindakan Trump bukan sahaja mendapat kritikan dari parti-parti politik dalam negara, malahan ia menimbulkan konflik politik di peringkat global.

Susulan itu pelbagai protes dijalankan di hadapan Kedutaan AS, termasuklah ahli UMNO, Pas, Pemuda Bersatu (Armada) dan juga dari NGO-NGO seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Perdana Menteri Najib Razak juga dengan tegas membantah pengiktirafan itu dan berkata orang Islam di seluruh dunia tidak akan menerima keputusan megiktiraf Baitulmaqdis selaku ibu kota Israel kerana ia merupakan salah satu daripada tiga tempat suci dalam agama selain Mekah dan Madinah.

Kesatuan Eropah (EU) dan kuasa-kuasa besar dunia turut menyuarakan kebimbangan mereka dengan tindakan Trump.  – MalaysiaGazette