Gambar hiasan

KUANTAN – Seorang remaja kelainan upaya (OKU) berkorban nyawa ketika mengelakkan adiknya daripada tergelincir ke dalam air terjun ketika mereka berkelah di Lata Lembik, Ulu Sungai Cheroh, Raub dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Raub, Supt. Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, ketika kejadian pada 4.50 petang Nor Dyana Abd Malek, 17, telah menghalang adiknya yang mengalami masalah penglihatan daripada tergelincir, tetapi malangnya beliau pula yang tergelincir kerana batu yang licin lalu dibawa arus yang deras.

Adik mangsa Siti Normala, 15, bagaimanapun terselamat.

“Mayat mangsa dijumpai tersangkut di bawah batu namun sehingga 7 petang semalam, pasukan bomba dengan bantuan orang kampung termasuk Orang Asli gagal mengeluarkan mayat mangsa kerana arus air yang sangat deras.

“Operasi mengeluarkan mayat mangsa bersambung semula 8 pagi tadi,” katanya semasa dihubungi di sini.

Mangsa yang baru sahaja selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tinggal di Jalan Bukit Seladang, Bera dan datang menziarahi abangnya di Kampung Batu Malim, Raub pada Khamis lalu bersama 13 anggota keluarganya. – Bernama