Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin beramah mesra dengan para peniaga Festival 'Sejalur Budi Seikhlas Hati' di Kuala Lumpur. foto ADIB RAMLI, 16 DISEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yakin dipilih menjadi calon parti itu untuk kerusi Parlimen Lembah Pantai pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang akan diadakan pada masa terdekat.

Menurut beliau, sudah ada ura-ura mengatakan dirinya akan tercalon selain dijangka mendapat sokongan luar biasa daripada masyarakat Lembah Pantai.

Namun pada waktu yang sama beliau menyerahkan keputusan muktamad dilakukan oleh kepimpinan tertinggi UMNO.

“Saya sudah menyediakan diri untuk menebus kekalahan pada PRU lepas. Saya juga yakin dan sudah dengar kepastian tentang menjadikan saya calon.

“Sokongan yang saya terima di sini juga sangat menggalakkan, malah saya masih lagi berkhidmat dengan penuh taat setia kepada pengundi Lembah Pantai walaupun kalah pilihan raya lepas.

“Bagaimanapun, keputusan muktamad terletak kepada pucuk pimpinan tertinggi, kita tunggu dan lihat. Sehingga itu, saya akan meneruskan kerja-kerja saya di kawasan ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival ‘Sejalur Budi Seikhlas Hati’ anjuran Persatuan Inspirasi Ibu Tunggal dan Wanita (PIWANI) di PPR Seri Cempaka, Lembah Pantai hari ini.

Jelas Nong Chick, pengundi Lembah Pantai mula menunjukkan petanda sokongan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ternyata berterusan menabur bakti walaupun ia adalah kawasan pembangkang.

“Sokongan terhadap BN semakin kuat di sini apatah lagi kita tidak pernah henti menghulurkan bantuan dari semua segi walaupun ini bukan kawasan kita. Pada kita, semuanya sama sahaja dan tidak hanya turun padang ketika menjelangnya musim PRU.

“Saya mahu menebus kekalahan lepas dan saya mendapat sokongan daripada akar umbi selain daripada pengundi juga mahukan saya kembali dicalonkan.

“Kita akan dapat rampas kembali kerusi berdasarkan maklum balas daripada komuniti setempat, selain komitmen padu yang ditunjukkan BN,” ujarnya.

Pada PRU13, Nurul Izzah Anwar menewaskan Nong Chik dengan majoriti 1,847 undi. Pada PRU 2008 Nurul Izzah merampas kerusi itu dari tangan Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Dalam pada itu, Nong Chick turut melahirkan rasa gusar kerana pada masa sama, khususnya menjelang pilihan raya,  pembangkang juga akan turun ke kawasan-kawasan tertentu bagi melakukan kempen ‘tidak sihat’.

“Mereka menjadikan kawasan tertentu sebagai sasaran dan sengaja menyebarkan maklumat tidak benar selain membakar sentimen tertentu.

“Kita juga perlu ‘tackle’ isu sedemikian dan turun padang bagi memberi kesedaran kepada mereka tentang retorik pembangkang dan realiti sebenar, terutamanya sumbangan serta jasa kerajaan terhadap rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette