Dr. Suthiphon Thaveechaiyagarn dan Muhammad Ibrahim pada majlis MoU kerjasama sektor insurans.

KUALA LUMPUR – Gabenor Bank Negara Malaysia, Muhammad bin Ibrahim dan Setiausaha Agung Office of Insurance Commission, Thailand, Dr. Suthiphon Thaveechaiyagarn, hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk meningkatkan kerjasama bagi perkembangan sektor insurans kedua-dua negara yang saling memberikan manfaat.

Dengan hubungan kewangan antara Malaysia dengan Thailand yang semakin meningkat, MoU ini akan menyokong langkah-langkah oleh pihak berkuasa kawal selia insurans kedua-dua negara untuk menggalakkan pasaran insurans yang berkesan dan berfungsi dengan baik bagi perlindungan dan pengurusan risiko individu dan perniagaan.

MoU ini merangkumi pengaturan berkaitan dengan bantu-membantu, bertukar-tukar maklumat serta kerjasama dalam bina upaya dan bantuan teknikal antara kedua-dua pihak berkuasa kawal selia.

Dalam kenyataan di sini, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, MoU ini merupakan peristiwa penting dalam pengukuhan pengaturan kerjasama antara BNM dengan Office of Insurance Commission, Thailand, selaras dengan tradisi kerjasama pengawalan dan penyeliaan yang sekian lama terjalin dalam sektor kewangan antara Malaysia dengan Thailand. – MalaysiaGazette