Mendiang Ivana Smit

KUALA LUMPUR – Polis setakat ini telah mengambil keterangan daripada 48 orang saksi berhubung siasatan kes kematian perempuan warga Belanda berusia 18 tahun.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Mazlan Lazim berkata, kes tersebut masih disiasat polis.

Katanya, polis masih menunggu laporan hasil bedah siasat yang dilakukan di Hospital Kuala Lumpur ke atas mayat mangsa tersebut.

“Setekat ini polis telah menemubual dan merakam keterangan daripada 48 orang saksi berhubung siasatan kes ini yang melibatkan saksi di tempat kejadian.

“Saksi-saksi itu terdiri daripada Patalogi, pengawal keselamatan, pihak pengurusan kondominium ahli keluarga simati, rakan simati dan pengurusan pusat hiburan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan terbaharu hari ini.

Tambah Mazlan, polis telah menghantar mayat model sambilan itu ke HKL untuk dibedah siasat selepas kejadian pada 2.51 petang 7 Disember lalu di Kondominium Capsquare Resident, Persiaran Capsquare di ibu negara.

Bagaimanapun katanya, polis masih belum menerima keputusan laporan hasil bebah siasat ke  atas mayat Ivana Smit.

Katanya kes kematian wanita warga Belanda itu dikategorikan sebagai laporan mati mengejut.

“Polis juga meminta kerjasama orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan sekiranya mempunyai sebarang maklumat hendaklah menyalurkannya kepada polis.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes berkenaan, Asisten Suprintendan Faizal Abdullah di talian 0124834439/03-26002222 atau Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Dang Wangi, Deputi Suprintendan Gunalan Muniandy di talian 0193114418,” tegasnya.

Dalam kejadian itu, mangsa dikenalpasti sebagai Ivana Esther Robert Smit dipercayai mungkin terjatuh akibat mabuk dari tingkat 20 sebelum mayatnya ditemui terlantar dalam keadaan bogel di balkoni tingkat enam kondominium itu di Dang Wangi.

Difahamkan, Smit adalah pemenang kedua program Pencarian Supermodel Malaysia 2014, ketika berusia 15 tahun. MalaysiaGazette