Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya hari ini.
PUTRAJAYA – Kejadian melanggar dan membunuh yang berlaku di Stesen Minyak Shell di Taman Pelangi, Johor baru-baru ini berpunca daripada perselisihan dua kumpulan kongsi gelap.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, polis telah mengenalpasti empat orang suspek yang berada dalam kereta berkenaan dan mangsa daripada dua kumpulan kongsi gelap berbeza yang terlibat dalam pergaduhan itu.

“Mangsa telah diheret dan dibawa masuk kedalam kereta sebelum berjaya melepaskan diri tetapi kemudian dilanggar empat suspek dengan menggilis mangsa menggunakan kereta jenis BMW berwarna putih.

“Ini merupakan satu perbuatan jenayah yang teramat serius dan menular dalam media sosial yang mana polis sedang menjejaki dan memburu keempat-empat penjenayah tersebut,” katanya yang juga Menteri Dalam Negeri dalam sidang media selepas menyempurnakan Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang terakhir untuk tahun 2017 di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid menambah, polis telah pun mejejaki dan menemui pemilik kereta berkenaan sebelum mendapati kereta berkenaan adalah kereta curi yang digunakan keempat-empat penjenayah.

Ujarnya, kesemua penjenayah terbabit tidak akan terlepas dari polis dan tindakan undang-undang.

“Kita telah melakukan siastan terperinci dan mendapati memang mereka adalah dua kongsi gelap berbeza dan polis tanpa kompromi akan memburu dan mencekup mereka untuk tindakan tegas.

“Dalam hal ini kita sudah mengaktifkan pasukan polis elit iaitu Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) sejak lebih setahu lalu untuk membanteras aktiviti kumpulan kongsi gelap secara habis-habisan.

Ditanya motif kejadian, katanya, polis sedang melakukan siasatan dalam pelbagai aspek untuk mengenalpasti punca insiden itu.

Dalam kejadian pada Ahad malam lepas, mangsa menurut polis difahamkan salah seorang ‘kepala besar’ kumpulan kongsi gelap terlibat.

“Ketua Polis Johor akan mengeluarkan butiran terperinci selepas segala maklumat kejadian diperoleh kelak,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette