PUTRAJAYA – Para pemimpin pembangkang dipelawa menyertai Perhimpunan Solidariti Memperjuangkan Nasib Rakyat Baitulmaqdis di Palestin di Masjid Putra disini pada 22 Disember ini.

Timbalan Perdana Menteri selaku pengerusi jawatankuasa penganjur perhimpunan itu, mengesahkan setakat ini, kira-kira 10,000 orang mewakili NGO, pelbagai lapisan masyarakat, organisasi dan pemimpin parti politik akan menyertainya.

Angka itu dijangka akan bertambah pada hari perhimpunan itu, katanya.

“Saya meminta semua pihak mengenepikan perentasan sempadan politik, pelbagai warna dan bangsa untuk bersatu memperjuangkaan keberadaan Baitulmaqdis dan rakyat di situ.

“Kita tidak menjalin hubungan diplomatik dengan Israel tetapi menghormati hubungan yang terjalin dengan Amerika Syarikat.

“Namun apabila hak dan kota suci di Baitulmaqdis diceroboh dengan hasrat melenyapkan sejarah kota suci Islam itu, kita perlu menunjukkan suara kita untuk mempertahankannya,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri Disember 2017 di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri juga menyeru rakyat Malaysia pelbagai agama mengenepikan perbezaan agama demi keamanan bersama dalam perhimpunan solidariti berkenaan pada Jumaat ini.

Ditanya sama ada pemimpin pembangkang seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad akan dijemput menyertai perhimpunan itu, beliau berkata, jemputan sudah mula dihantar bermula petang semalam kepada semua pemimpin tanpa mengira latar belakang politik.

“Kita menjemput semua penceramah tidak kira parti politik pembangkang atau sebagainya untuk forum yang akan diadakan bermula pukul 12.30 tengahari Jumaat ini yang menjurus kepada suara solidariti rakyat kita.

“Malah dalam Mesyuarat Jemaah Menteri Rabu lalu, saya telah meminta pandangan presiden setiap parti Komponen dalam BN dan mereka turut bersetuju akan menghadiri dan menyatakan sokongan dalam perhimpunan itu di Masjid Putra nanti.

“Forum akan disambung selepas solat Jumaat dan solat hajat memohon keselamatan rakyat Baitulmaqdis, khutbah dan akan diikuti ucapan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pemimpin-pemimpin NGO dan akhirnya ucaptama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” tegasnya.- MalaysiaGazette