KUALA LUMPUR – Presiden Pertubuhan Aduan Rakyat (PAR), Datuk A. Chandrakumanan mengecam kebiadapan Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen yang memperlekeh laporan prestasi ekonomi Malaysia oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Katanya, tindakan kurang bermoral dari pemimpin PKR itu jelas menunjukkan pembangkang kehabisan modal untuk menyerang kerajaan dengan fitnah tidak berfakta.

“Wong Chen dan sekutunya dalam pakatan pembangkang sudah kecewa dengan IMF yang mengakui keberkesanan transformasi ekonomi yang dilaksanakan Perdana Menteri, Najib Tun Razak,” katanya dalam kenyataan terbaharu kepada MalaysiaGazette hari ini.

Malah Chandrakumanan juga mengingatkan pembangkang ketua mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri telah menganggotai jawatankuasa IMF selepas bebas dari penjara pada tahun 2004.

“Memang tidak masuk akal tindakan pembangkang ini apabila mempersoalkan IMF, ketika dahulu pemimpin mereka Anwar Ibrahim sendiri pernah menegaskan akan mengambil nasihat badan dunia itu semasa krisis ekonomi 1998.

“Apa yang dilakukan pembangkang itu ialah bersifat pengecut, menolak dan membantah sebarang laporan positif mengenai Malaysia demi politik.

Wong Chen dikatakan menuduh badan dunia itu seakan-akan telah mengambil ‘dedak’ untuk membuat laporan yang baik berkaitan Malaysia.

Dalam laporan berkenaan, pertumbuhan KDNK Malaysia diunjurkan oleh IMF pada 5.5 dan 6 peratus pada tahun 2017, lima peratus dan 5.5 peratus pada tahun 2018.

Wong Chen menuduh kononnya IMF mengenepikan etika profesionalisme dan gagal menerbitkan laporan yang komprehensif.- MalaysiaGazette